Anda di sini

Semua pihak diseru berganding tenaga ke arah pembangunan belia

Advertisement

KEPALA BATAS: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyeru semua oganisasi belia, syarikat korporat dan agensi kerajaan agar berganding tenaga menggerakkan pelbagai program ke arah pembangunan belia yang berkesan.

Katanya penggabungan tenaga dan buah fikiran semua pihak berkepentingan akan memberi impak positif terhadap program yang dianjurkan selain mengeratkan hubungan antara pihak terbabit.

“Saya menyeru golongan belia untuk memberi sepenuh komitmen dan kesungguhan untuk  bersama-sama menyokong dasar dan program pembangunan negara. Ini penting kerana belia ialah golongan pelapis bagi pemimpin masa depan,” katanya ketika merasmikan Karnival Mesra Belia ‘Jom ke Putrajaya 2014’ peringkat Pulau Pinang, di sini semalam.

Dalam pada itu, Khairy berkata penganjuran karnival Jom ke Putrajaya 2014 diadakan di peringkat daerah dan negeri bagi memberi peluang kepada belia di akar umbi untuk bersama-sama meraikan sambutan Hari Belia.

“Melalui konsep yang pertama kali diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan ini diharap dapat memberi nafas baharu kepada hala tuju dan masa depan belia untuk terus  mengemudikan bahtera kemajuan, kesaksamaan dan kestabilan negara,” katanya.

Katanya sambutan Hari Belia Negara kali ini dimulakan dengan sambutan di peringkat daerah (Mac hingga April), diikuti peringkat negeri (April hingga Mei) sebelum acara kemuncak iaitu Festival Belia Putrajaya 2014 yang dijadualkan 23 hingga 25 Mei ini.

“Kali ini aktiviti yang diadakan bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi  turut diselitkan dengan pengisian ilmu serta nilai-nilai akhlak terpuji.

Sebagai pembuka  tirai ia akan dimulakan dengan Program Belia Berselawat pada 23 Mei.

“Kali ini kita ketengahkan pendekatan yang lebih seimbang serta menghayati perbezaan dari segi minat golongan belia dan bukan semata-mata hiburan,” katanya. — Bernama

Advertisement