Anda di sini

SCCS berjaya kumpul dana RM102,777 daripada Go Bald

Advertisement

BINTULU: Pertubuhan Kanser Kanak-Kanak Negeri Sarawak (SCCS) berjaya mengumpul dana berjumlah RM102,777 yang disumbangkan oleh orang awam dan persatuan di sini dalam kempen ‘Go Bald’ semalam.

Kempen disertai 134 lelaki dan enam wanita yang membenarkan rambut mereka dicukur botak sambil menyumbang kewangan kepada SCCS dan hasil derma berjaya dikumpul berjumlah RM55,777.

Manakala kempen mencukur di satu tempat khusus (Plus Satellite Shave) disertai 172 lelaki dan lapan wanita di bangunan Persatuan Teo Chew dengan derma sebanyak RM47,000.

Bendahari Kehormat SCCS Jocelyn Hee mewakili SCCS berterima kasih atas sokongan pelbagai pihak dalam usaha menjayakan program dan kempen tersebut.

SCCS menjelaskan bahawa keguguran rambut kesan daripada kemoterapi memberi situasi trauma kepada kanak-kanak penghidap kanser.

“Justeru, dengan mengadakan kempen membotakkan kepala kami menghantar mesej kepada kanak-kanak bahawa kehilangan rambut adalah keadaan sementara kerana rambut mereka akan tumbuh semula,” katanya.

Selain memupuk kesedaran, ‘Go Bald’   adalah kunci utama SCCS mendapatan dana dan kini berusaha mendapatkan dana berjumlah RM1.5 juta untuk membantu dalam penyediaan perkhidmatan diperlukan.

SCCS berperanan memberi sokongan menyediakan kemudahan penginapan, bantuan kewangan, pendidikan, aktiviti rekreasi untuk keluarga dan anak-anak penghidap kanser di Sarawak.

Sejak ditubuhkan pada 2001, SCCS membantu lebih 700 pesakit di negeri ini.  Sebanyak 1,700 kepala dicukur botak pada 2013 termasuk 200 wanita.  Tahun ini, SCCS berharap dapat mencukur rambut 2,000 peserta merangkumi 300 wanita.

SCCS berharap melalui cara ini menjadi landasan kepada masyarakat bersama-sama memberi sokongan kepada program yang bermakna dan mewujudkan kasih sayang serta keprihatinan kepada masyarakat.

Advertisement