Anda di sini

Projek perintis rangsang kesedaran pulihara alam sekitar

WIRA EKO: Eksekutif Kanan Komunikasi Korporat Trienekens Janet J. Balong (empat kiri), Guru Penasihat SM Sains Kuching Pamella Lanyau (kiri) dan Rabiah Ghani (kanan) merakam kenangan bersama para pelajar SM Sains Kuching.

TRIENEKENS dan Sekolah Menengah (SM) Sains Kuching baru-baru ini memulakan projek perintis bagi merangsang kesedaran mengenai alam sekitar dan usaha kitar semula dalam kalangan pelajar.

Menurut kenyataan akhbar Trienekens, inisiatif pengurusan sisa pepejal juga merupakan sebahagian daripada progam ‘Go Green’ di peringkat sekolah dianjurkan kelab Bahasa Perancis Sekolah dan disokong jawatankuasa pelajar terdiri daripada ahli-ahli Lembaga Pemimpin Pelajar, Kelab Bahasa Inggeris dan Kelab Interaksi.

Bagi memulakan program itu, Trienekens mengadakan ceramah kesedaran kepada pelajar dengan memberi penekanan kepada pentingnya usaha memulihara alam sekitar menerusi pengurusan dan pembuangan sisa pepejal secara terurus dan pada masa sama menyemai tabiat kitar semula sebagai cara untuk mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Ceramah itu dihadiri kira-kira 490 pelajar dan guru sekolah berkenaan.

“Projek pendidikan ini menyediakan peluang kepada pelajar menjelmakan komitmen mereka terhadap usaha memulihara dan mengekalkan kelestarian alam sekitar,” jelas Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan Trienekens, Elvin Wee.

“Kami sentiasa berminat bekerjasama dengan sekolah-sekolah, dalam kes ini bersama SM Sains Kuching, menggabungkan idea dan pengetahuan kita bertujuan mendidik generasi muda tentang kitar semula, pengurusan sisa buangan dan perlindungan alam sekitar,” katanya.

Projek perintis itu, disokong sepenuhnya oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP) memfokus kepada motivasi dan memperkasa pelajar membuang dengan teratur sisa buangan mereka bermula dari dalam bilik darjah dan pekarangan sekolah.

Pelajar juga belajar menyediakan tong kitar semula mereka sendiri atau kotak untuk membezakan jenis barangan yang boleh dikitar semula.

Selepas ceramah itu, syarikat berkenaan akan menganjurkan beberapa aktiviti pendidikan seperti bengkel, seminar, pertandingan dan pengurusan sisa pepejal lain serta kitar semula dengan sekolah-sekolah dalam bulan-bulan akan datang.