Anda di sini

Program transformasi ekonomi aspek penting yang mampu lonjak Sarawak

Advertisement

KUCHING: Program transformasi ekonomi merupakan aspek penting yang mampu melonjakkan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi dan mencapai Wawasan 2020.

Sehubungan itu Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata, kewujudan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) memang tepat pada masanya untuk mencapai sasaran itu.

Pada masa sama menurutnya, SCORE juga menjadi medium untuk melahirkan modal insan berkualiti dan bakat baharu yang mampu bersama-sama melonjakkan ekonomi negeri ini.

“Kerajaan amat menitikberatkan program transformasi ekonomi terutama untuk mencapai Wawasan 2020 dan menjadikan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam teks ucapan yang dibacakan Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Centre for Modern Management (CMM) Ke-20 di sini, malam kelmarin.

Dalam perkembangan sama Adenan menjelaskan, adalah penting juga untuk melihat perkhidmatan awam negeri berada pada tahap terbaik selari dengan status negeri berpendapatan tinggi.

Menurutnya, peranan CMM dalam meningkatkan kualiti penjawat awam negeri adalah diperlukan.

“CMM telah memainkan peranannya dalam memartabatkan penjawat awam ke arah penjawat awam berkelas dunia.

“Peranan CMM amat membanggakan dan merupakan penyedia latihan lima bintang,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani yang juga pengerusi CMM berkata, CMM telah banyak berubah dan mengalami pelbagai transformasi dalam memastikan perkhidmatan yang disediakan berkualiti tinggi.

“Sekarang CMM turut menyediakan program pengurusan kanan untuk pegawai kanan perkhidmatan awam negeri,” jelasnya.

Majlis itu menyaksikan beberapa kakitangan CMM menerima Anugerah Perkhidmatan Setia yang berkhidmat 10 tahun, 15 tahun dan 20 tahun.

Advertisement