Anda di sini

Miri terbaik amal keharmonian dan perpaduan kaum

Advertisement

MIRI: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem menyifatkan bandar raya Miri antara contoh terbaik di Sarawak yang mengamalkan keharmonian dan perpaduan kaum sepanjang zaman.

Beliau berkata kebanyakan orang Miri ketika ini bukannya penduduk asal akan tetapi disebabkan persefahaman antara kaum kehadiran golongan itu diterima penduduk tempatan.

“Kebanyakan mereka bekerja dengan syarikat minyak atau syarikat lain untuk beberapa generasi dan mengambil keputusan menetap di sini disebabkan keunikan Miri itu sendiri,” katanya pada Majlis Makan Malam sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-9 Bandar Raya Miri di sini malam kelmarin.

Adenan berkata berbanding di Semenanjung Malaysia, persefahaman dan keharmonian kaum di kalangan rakyat Sarawak diperkukuh sejak beberapa generasi.

“Mereka (Semenanjung Malaysia) harus belajar daripada kita cara bagaimana mengekalkan keamanan dan rakyat bebas bergerak tanpa sebarang pergaduhan kerana Sarawak simbol kepada keamanan negara ini,” tegasnya.

Menurut Adenan, ia dapat dilihat melalui keunikan dan keakraban sebanyak 27 etnik di negeri ini dan Miri yang dapat hidup bercampur gaul dan saling memahami antara satu sama lain.

Katanya landskap Miri telah banyak berubah, menjadikannya antara bandar raya peranginan dan bandar raya hijau yang sentiasa menjadi sebutan dan tumpuan pelancong.

“Inspirasi dan misi penduduk Miri berjaya mengubah secara keseluruhan landskap bandar raya ini hingga menjadi antara bandar raya terbaik di Sarawak, khususnya di wilayah Utara,” ujarnya.

“Malah, semua orang kagum bahawa Miri telah mencatat pelbagai kejayaan termasuk yang terbaharu persembahan sape teramai dalam Malaysia Book of Records.

“Apapun kejayaan dicapai bandar raya Miri merupakan inspirasi, dedikasi dan komitmen ditunjukkan Majlis Bandaraya Miri (MBM) serta para penduduknya yang berbilang kaum,” kata Adenan.

Hadir sama isterinya, Puan Sri Datuk Jamilah Anu, Datuk Bandar MBM Lawrence Lai, menteri-menteri kabinet negeri, wakil rakyat serta wakil-wakil agensi kerajaan dan swasta.

Advertisement