Anda di sini

Miri berpotensi jadi ibu negeri baharu Sarawak

Advertisement

Oleh Claire Cinderella //

PENTING: Yaw Teck Seng (dua kiri) memperjelaskan sesuatu kepada Adenan (tiga kiri) mengenai Miri Central Park. Turut kelihatan Yaw Chee Ming (kiri), Jamilah (empat kiri) dan yang lainnya.

Jika pembangunannya terus melonjak hingga mampu mengatasi populariti Kuching: Adenan

MIRI: Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem semalam membayangkan bahawa tidak mustahil bagi bandar raya peranginan Miri ‘menawan’ negeri Sarawak untuk menjadi sebuah ibu negeri yang baharu bagi negeri ini, jika ada permintaan terhadap usaha itu pada masa depan.

Beliau optimis mengenai bayangan itu, jika pembangunan di Miri terus melonjak hingga mampu mengatasi Kuching, ibu negeri Sarawak.

Adenan berkata pembangunan Miri Central Park yang merupakan nadi kepada pelan induk bagi Marina ParkCity dan bandar raya Miri, bukan sahaja merupakan mercu tanda tetapi menjadi penanda aras kepada pencapaian pembangunan dan kemajuan di Miri yang dilihat oleh beliau sebagai satu pencapaian yang mampu mengatasi Kuching.

“Apa yang dibangunkan (oleh Kumpulan Samling) di Marina ParkCity, bukan hanya perumahan dan bukan sekadar bangunan komersil atau premis perniagaan sebaliknya sebuah bandar pinggir pantai yang indah, moden dan maju di Sarawak.

“Malah ia dibangunkan dengan menebus guna tanah pinggir laut, iaitu konsep yang pertama seumpamanya dan melihat usaha ini amat berjaya,” jelasnya.

Beliau turut menggesa syarikat korporat lain mencontohi langkah Samling dalam menebus guna tanah yang menurut beliau lebih murah dan perlu mematuhi banyak syarat dan proses.

Malah Adenan dalam nada bergurau memuji usaha Kumpulan Samling itu yang dianggapnya turut ‘memperluaskan’ saiz dan sempadan negeri Sarawak.

Menurut beliau, apabila siap kelak Miri Central Park dan Marina ParkCity bukan sahaja melonjakkan imej Miri dan memperlengkapnya sebagai sebuah bandar raya pelancongan di pinggir pantai, tetapi juga sebagai sebuah bandar raya yang maju dan moden serta meningkatkan taraf hidup penduduk di sini.

“Nampaknya Miri kini sudah memulakan langkah pertamanya untuk ‘mengambil alih’ kedudukan ibu negeri Sarawak daripada Kuching,” katanya.

Ketua Menteri itu memberitahu demikian semasa berucap pada Majlis Pecah Tanah dan Perasmian Miri Central Park di Marina ParkCity yang dibangunkan oleh Kumpulan Samling di sini, semalam.

Majlis tersebut turut dihadiri isteri beliau Puan Sri Datuk Jamilah Anu, Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Datu Sudarsono Osman serta Pengasas Kumpulan Samling Tan Sri Datuk Yaw Teck Seng.

Advertisement