Anda di sini

Lawatan Agong ke Singapura catat sejarah

Advertisement

BERANGKAT: Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah berkenan melambai ke arah tetamu yang hadir sebelum berangkat ke Singapura sempena lawatan negara di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, semalam. — Gambar Bernama

SINGAPURA: Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Husni Zai Yaacob menyifatkan lawatan negara oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ke Singapura sebagai bersejarah dan kena pada masanya.

Ia akan mempertingkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara ASEAN yang rapat itu,” kata beliau.

Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah berangkat tiba di Singapura lewat semalam untuk lawatan negara sehingga Rabu.

“Kami amat teruja dengan lawatan oleh Yang di-Pertuan Agong kerana ini merupakan lawatan yang bersejarah. Kali terakhir Yang di-Pertuan Agong dari Malaysia melawat republik itu ialah pada 2006.

“Ia amat kena pada masanya kerana hubungan (dua hala) antara Malaysia dan Singapura kini berada pada tahap tertinggi.

“Pemukiman Pemimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong baru-baru ini adalah bukti tentang hubungan akrab antara kedua-dua negara,” kata beliau kepada Bernama dan RTM dalam temubual di sini semalam.

Husni Zai berkata lawatan itu juga sebagai membalas lawatan negara oleh Presiden Singapura Tony Tan ke Malaysia pada September tahun lepas.

“Justeru, kami yakin bahawa lawatan ini akan memperkukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Singapura.

Mengenai aturcara lawatan Seri Paduka, Husni Zai berkata atur cara rasmi bermula hari ini apabila Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah akan diberi sambutan penuh istiadat di Istana.

Beliau berkata Seri Paduka berdua akan melakukan kunjungan hormat terhadap Presiden Tony Tan dan isteri, Mary Tan, yang akan meraikan pelawat diraja itu pada majlis jamuan negara.

Beliau berkata Lee dan isteri juga akan menghadap Seri Paduka berdua.

Menurut beliau, Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah juga akan berkenan berangkat ke majlis jamuan malam dengan masyarakat Malaysia di Singapura. Kira-kira 200 rakyat Malaysia dijangka menghadiri majlis itu.

Husni Zai berkata atur cara lawatan termasuk aturcara khas untuk Seri Paduka berdua berangkat menghadiri upacara menamakan bunga Orkid di Taman Botani.

Menyentuh tentang hubungan ekonomi, beliau berkata: “Hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura telah mencapai tahap amat baik sejak beberapa tahun kebelakangan terutama dalam bidang ekonomi, politik, sosial dan juga hubungan rakyat dengan rakyat.

“Mengenai hubungan ekonomi, ia amat penting dalam konteks perdagangan kerana Singapura ialah rakan dagangan terbesar kita. Dalam konteks pelaburan, Singapura merupakan pelabur terbesar di Iskandar dan Singapura juga ialah pelabur ketiga terbesar di Malaysia pada 2013,” kata beliau. — Bernama

“Dalam konteks pelancongan pula, ia amat signifikan, jumlah pelancong Singapura yang melawat Malaysia tahun lepas mencatatkan lebih 52 peratus dan kami yakin bahawa hubungan ekonomi ini dapat dipertingkatkan lagi pada masa depan,” katanya. — Bernama

Advertisement