Anda di sini

Keyakinan masyarakat terhadap SPRM ditingkat

Advertisement

Oleh Siti Aisyah Ramli //

Peningkatan dari 31 peratus (2009) hingga 66 peratus (2013) masih disifatkan di bawah peratusan rendah

KUCHING: Keyakinan masyarakat terhadap peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperlihatkan peningkatan pada peratusan yang tercatat dari 2009 hingga 2013.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengurusan dan Profesionalisme SPRM Malaysia Datuk Zakaria Jaffar berkata, meskipun peratusan keyakinan itu dilihat meningkat saban tahun, dari 31 peratus (2009) hingga 66 peratus (2013), ia masih disifatkan di bawah peratusan rendah.

“Kami (SPRM) amat memerlukan keyakinan masyarakat terutama sebagai sokongan untuk kami terus mengorak langkah ke hadapan serta menjalankan amanah dalam membasmi kegiatan rasuah di seluruh negara.

“Justeru, saya rasa pencapaian 66 peratus keyakinan masyarakat kepada SPRM setakat tahun lepas masih lagi di peringkat lemah dan kami akan memastikan peratusan itu akan meningkat secara mendadak pada tahun ini,” katanya.

Tambah Zakaria, SPRM kini membuat perubahan pada struktur pentadbirannya dengan mewujudkan lima entiti pemantau yang bertanggungjawab memantau panel, lembaga serta jawatankuasa.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada program ‘Merakyatkan SPRM’ di Masjid Al-Firdaus Kampung Tunku di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, program yang julung kali diadakan itu adalah bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat setempat mengenai peranan SPRM dalam menjalankan amanah mencegah rasuah.

“Saya percaya program seumpama ini dapat membentuk satu pendekatan baharu bagi memperkukuh usaha memerangi rasuah di setiap lapisan masyarakat.

“Kami (SPRM) memilih masjid dan surau sebagai lokasi jelajah kami kerana ia adalah lokasi paling sesuai dan strategik untuk memberi ceramah selain sebagai satu usaha dakwah untuk memberi pemahaman kepada masyarakat mengenai bahaya rasuah yang dikhuatiri semakin menular,” katanya.

Pada masa sama, beliau percaya, secara umumnya ahli masjid mempunyai tahap integriti yang tinggi untuk memberi keyakinan sekali gus menjadi ejen penyampai utama kepada masyarakat lain.

Terdahulu, Pengarah SPRM Negeri Datuk Bahri Mohd Zin berkata masyarakat seharusnya memupuk kecintaan terhadap SPRM sebagai ahli pemantau atau saksi bagi membentuk pasukan yang bekerjasama dalam membanteras jenayah rasuah.

“Tak kenal maka tak cinta, justeru, kenalilah SPRM dan cintailah SPRM serta bersama-sama kita mencegah rasuah daripada terus menular di seluruh negeri ini khususnya.

“Kekuatan pegawai dan peranan SPRM terletak pada keikhlasan serta ketelusan masyarakat dalam menyalurkan maklumat mengenai rasuah yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya.

Program Merakyatkan SPRM merupakan strategi terbaharu suruhanjaya itu bagi meningkatkan keyakinan di samping memperbaiki persepsi masyarakat tempatan mahupun antarabangsa ke atas keberkesanan SPRM dalam pencegahan rasuah berasaskan prinsip kebebasan, ketelusan dan profesionalisme.

Program turun padang itu juga merupakan siri jelajah merangkumi bandar-bandar utama di Sarawak termasuk Miri, Limbang, Bintulu, Sibu dan Kuching.

Advertisement