Anda di sini

Empat lelaki bertopeng larikan ATM

Advertisement

DISIASAT: Anggota forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu menjalankan siasatan selepas sekumpulan empat lelaki bertopeng melarikan dan memecah sebuah mesin juruwang automatik (ATM) kepunyaan Bank Rakyat Cawangan Jerteh di Jerteh, semalam. — Gambar Bernama

Bank Rakyat kehilangan RM160,000 dalam masa hanya lima minit  

BESUT: Sekumpulan empat lelaki bertopeng mengambil masa lima minit untuk melarikan dan memecahkan sebuah mesin juruwang automatik (ATM) kepunyaan Bank Rakyat Cawangan Jerteh di sini awal pagi semalam.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata kejadian yang berlaku antara jam 5.45 hingga 6 pagi itu menyebabkan bank terbabit kehilangan kira-kira RM160,000 dari mesin berkenaan.

Katanya, hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan keempat-empat suspek memakai topeng muka itu menggunakan kabel untuk mengikat satu daripada empat ATM bank berkenaan sebelum menariknya keluar daripada ruang ATM dengan menggunakan kereta dan memecahkan mesin itu di luar kawasan bank.

“Semasa kejadian pengawal keselamatan bank berkenaan sedang solat Subuh di sebuah surau yang terletak di luar kawasan bank berkenaan,” katanya.

Katanya, pengawal berkenaan yang pulang daripada menunaikan solat ternampak kerosakan pintu cermin bank dan mesin ATM ditinggalkan di luar kawasan bank sebelum menghubungi pihak pengurusan bank yang kemudiannya menghubungi polis.

Wan Abdul Aziz berkata pihaknya percaya rompakan itu dilakukan golongan pakar yang pernah melakukan perbuatan seumpama itu sebelum ini.

Katanya ini merupakan kejadian pertama melarikan mesin ATM di Besut dan sehubungan itu satu unit khas ditubuhkan oleh IPK Terengganu untuk membanteras kegiatan merompak dan melarikan mesin ATM.

Sehubungan itu, beliau meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Ibu pejabat Polis Besut 09-6956222 atau Balai Polis Jerteh 09-6971222. — Bernama

Advertisement