Anda di sini

DAP jangka saingan sengit dalam kempen Teluk Intan

Advertisement

Pemilihan calon wanita Melayu muda langkah berisiko

TELUK INTAN: DAP akan menghadapi saingan sengit dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan kerana memilih wanita Melayu muda sebagai calonnya.

Ketua Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua mengakui parti itu mengambil risiko dengan mencalonkan peguam Dyana Sofya Mohd Daud, 27, sebagai calon untuk kerusi panas berkenaan.

Langkah itu bagi mengubah persepsi orang ramai dan membuktikan bahawa DAP sebuah parti yang tidak didominasi kaum Cina, katanya kepada pemberita selepas mengiringi Dyana Sofya, Setiausaha Politik kepada ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang melakukan tinjauan mesra di pasar Pekan Baru, di sini semalam.

Apabila ditanya sama ada gadis kelahiran Ipoh itu dijadikan sebagai bahan uji kaji bagi melihat sambutan orang ramai terhadap langkah parti itu mengubah imej menjadi sebuah parti berbilang kaum, Pua berkata: “Beliau bukan bahan uji kaji tetapi lebih kepada pelaburan parti bagi memastikan kelestariannya (DAP),”.

“Kita (DAP) mungkin kehilangan peperangan (PRK) demi untuk memenangi peperangan (untuk menukar parti),” katanya.

Memandangkan calonnya tidak dikenali dalam kalangan pengundi Teluk Intan, Pua berkata DAP akan turun padang dan bertemu dengan pengundi melalui tinjauan mesra, perhimpunan dan dialog, dalam tempoh dua minggu ini.

“Ia bagi menjelaskan kepada pengundi bahawa rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, harus mengundi seorang ahli Parlimen (MP) berdasarkan prestasi dan keupayaan,” katanya.

DAP memulakan kempen kelmarin sebaik mengumumkan Dyana Sofya, sebagai calonnya meskipun hari penamaan calon, hari ini.

PRK Teluk Intan itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, dari DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Seah, 48, memperoleh 27,399 undi menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong (20,086 undi) dan calon bebas Moralingam Kannan (279 undi) dengan majoriti 7,313 undi.

Sementara itu, penyokong-penyokong DAP di Teluk Intan mempunyai perasaan berbelah bahagi terhadap calon DAP itu berikutan usianya yang muda dan tiada pengalaman.

Seorang pemilik kedai runcit yang enggan dikenali melahirkan rasa terkejut apabila DAP mencalonkan seseorang yang tidak dikenali untuk kerusi Parlimen.

“Walaupun beliau ialah Setiausaha Politik Lim, beliau baharu saja menyertai DAP. Kami tidak tahu bagaimana keupayaan beliau,” katanya.

Perasaan tersebut turut dikongsi penjual buah-buahan, Li Ai Sun yang turut berkata calon baharu itu terlalu muda dan risau akan kemampuannya untukmemahami keadaan di Teluk Intan khususnya perniagaan dan ekonomi.

“Saya harap calon baharu DAP ini dapat menunjukkan kebolehan dan bukan semata-mata untuk mendapatkan undi kita. Saya harap dia boleh memahami suara hati kita khususnya yang berniaga kecil-kecilan,” katanya.

Peniaga kopitiam, yang hanya mahu dikenali Teh berkata beliau sangat terkejut apabila DAP memberi laluan kepada muka baharu yang tidak mengetahui keadaan dan masalah orang Teluk Intan.

“Walaupun orang baharu dan muda tetapi harap dia dapat memahami keadaan di sini. Masalah bahasa mungkin satu halangan untuk dia berkomunikasi dengan orang tempatan,” katanya. — Bernama

Advertisement