KUALA LUMPUR: MCA semalam berkata tindakan DAP meletakkan Dyana Sofya Mohd Daud sebagai calonnya pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan kerana mereka gagal mencari calon tempatan.
Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata MCA turut melihat tindakan DAP meletakkan calon Melayu itu bagi menyelesaikan pertelingkahan dalam kalangan pemimpin tempatan yang berebut ingin menjadi calon PRK berkenaan.
“Dalam parti mereka (sendiri) berpuak-puak dan masing-masing berebut untuk jadi wakil rakyat, akhirnya (Penasihat parti) Lim Kit Siang menggunakan dakyah beliau untuk selesaikan masalah.
“Tapi rakyat Teluk Intan lebih pentingkan perubahan dan pembangunan, tak mahu ambil tahu masalah dalaman DAP yang tak dapat cari satu wakil rakyat yang baik dari Teluk Intan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Ibu Pejabat MCA Bandar Tun Razak dan Pusat Komuniti Masyarakat di sini.
Dyana Sofya, 27, yang juga setiausaha politik Lim, diumum DAP sebagai calonnya untuk mempertahankan kerusi itu dalam PRK yang dijadualkan 31 Mei ini.
Penamaan calon bagi PRK Parlimen Teluk Intan ditetapkan 19 Mei, manakala pengundian awal pada 27 Mei.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, pada 1 Mei lepas akibat kanser.
Dalam pilihan raya umum tahun lepas, Seah daripada DAP mengatasi calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong dengan majoriti 7,313 undi.
Untuk PRK ini, BN sekali lagi mempertaruhkan Mah yang juga Presiden parti Gerakan untuk merampas semula kerusi itu yang pernah diwakilinya selama duapenggal bermula 1999 hingga 2008.
Mengulas lanjut, Liow berharap penduduk Teluk Intan dapat menilai sendiri kejujuran pakatan PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat, apabila mereka sentiasadilihat gagal mencari kesepakatan dalam pelbagai isu.
Mengambil contoh isu hudud, Liow berkata DAP sendiri gagal meyakinkan PAS agar menghentikan agenda pelaksanaan undang-undang itu, sedangkan mereka berada dalam satu pakatan.
“BN lebih mantap, lebih bertanggungjawab, mempunyai agenda transformasi yang cukup jelas, serta mengamalkan sistem konsensus cukup baik untuk jaga perpaduandan keharmonian sejak sekian lama,” katanya. — Bernama