Anda di sini

Trek Motocross Miri diiktiraf trek terbaik Malaysia

Advertisement

MIRI: Trek Motocross Miri di Permyjaya bakal menjadi pilihan penganjuran Kejohanan Motocross Peringkat Tiga Negara Asia berikutan pengiiktirafannya sebagai Trek Motocross Fasiliti Terbaik di Malaysia oleh Automobil Association Malaysia (AAM) pada Ahad ini.

Pengiktirafan itu akan diberikan oleh AAM sempena Kejohanan Motocross AAM 2014 dan Cabaran Motocross Borneo AAM 2014 di Trek Motocross di Permyjaya pada 18 Mei ini.

Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin akan menerima anugerah tersebut mewakili kerajaan negeri yang bertanggungjawab membangunkan trek tersebut empat tahun lalu dengan kos RM500,000.

Pembinaan trek berkenaan setelah mengambil kira maklum balas yang begitu memberangsangkan daripada pengemar sukan motocross dan ahli-ahli Sarawak Automotive Racing Sport Association (SARSA).

Mengulas perkembangan itu, Lee berkata, kerajaan negeri memberikan sokongan penuh kepada penganjur untuk mengadakan kejohanan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Kerajaan akan terus beri sokongan sebagaimana yang kita lakukan sebelum ini,” katanya kepada media selepas menerima kunjungan hormat daripada jawatan penganjur kejohanan dan cabaran tersebut semalam.

Hadir sama Pengerusi SARSA Hii Chang Hoon, Pengerusi Kelab Motorcross Sarawak yang juga pengerusi penganjur Kong Shan Nyan dan Setiausaha AAM Lucas Tan.

Lee turut memuji usaha dan kesungguhan persatuan dalam mempromosi sukan tersebut dan beliau yakin ia mampu melahirkan lebih ramai penunggang motocross bertaraf dunia selain membantu membangunkan pelancongan berasaskan sukan di utara Sarawak.

“Kerajaan negeri akan membangunkan trek di kawasan lain berdasarkan permintaan masyarakat setempat,” katanya.

Mengenai Trek Motocross Miri, Lee berkata ia mempunyai sembilan fasiliti yang cemerlang berbanding trek yang ada di negara ini antaranya mempunyai bilik setiap satu untuk Secretary of Meet (SOM), Steward, orang kenamaan dan perubatan selain paddock, kawasan pemeriksaan, pintu permulaan dan kawasan pencucian.

“Selain itu, trek pasir yang mencabar, table top 100 kaki ketinggian iaitu tertinggi di Sarawak, double step up yang pertama di Sarawak menjadikannya memang layak untuk menjadi lokasi penganjuran kejohanan tiga antarabangsa pada masa hadapan,” ujar Lee.

Beliau berharap kerajaan dan badan korporat yang lain akan turut menyokong usaha membangunkan sukan di negeri ini sekali gus mempromosikan pelancongan berasaskan sukan.

Advertisement