Anda di sini

England bakal hadapi masalah kerana gugurkan Carrick, tegas Ferdinand

Advertisement

SINGAPURA: Rio Ferdinand telah memberi amaran, England mungkin telah mendedahkan diri sendiri di bahagian tengah di Piala Dunia apabila Michael Carrick tidak dimasukkan ke dalam skuad teras mereka di Brazil nanti.

Bekas kapten England itu, yang membuat kejutan apabila dia mengumumkan dia akan meninggalkan Manchester United pada minggu ini, turut mempersoalkan keputusan untuk menggugurkan pemain pertahanan kiri Chelsea, Ashley Cole.

Jurulatih England Roy Hodgson pada minggu ini menyenaraikan Carrick di kalangan tujuh pemain ‘tunggu sedia’.

Keputusannya untuk tidak memilih Cole, sebaliknya memilih Leighton Baines dari Everton dan Luke Shaw dari Southampton, telah menarik paling banyak perhatian.

Namun Ferdinand, yang bercakap ketika melakukan lawatan untuk mempromosikan syarikat telekomunikasi Singtel di Singapura, menegaskan pemain gantian tidak banyak dalam skuad utama 23 pemain bagi pemain tengah Liverpool, Steven Gerrard, 33.

“Saya melihat seluruh skuad dan saya tidak dapat melihat pemain lain yang bermain di posisi itu secara semula jadi sepertinya, dalam peranan Steven Gerrard, terutamanya jika Gerrard mengalami kecederaan atau digantung,” kata Ferdinand dalam satu temu ramah.

“Saya rasa tidak ada orang yang dapat bermain dengan semula jadi pada posisi yang sama dengan berkesan seperti Michael Carrick,” tambahnya.

“Saya rasa dia (Carrick) adalah seorang pemain yang amat bagus dan saya sudah bermain bersama Carrick selama bertahun-tahun,” kata Ferdinand.

Ferdinand, yang bermain di Old Trafford dalam 12 musim yang penuh dengan piala, berkata dia memahami kenapa Hodgson mahu membawa masuk Shaw dari Southampton yang dipandang tinggi dan bukan Cole, yang sudah 107 kali bermain mewakili negara.

Namun katanya dia tetap akan memilih Cole kerana dia adalah “pemain pertahanan kiri terbaik yang kita miliki buat masa sekarang”.

Dia turut menepis laporan tentang keresahan pemain dalam kempen United yang tidak berjaya pada musim ini, dan berkata pertengkaran dan pergaduhan bukan perkara yang luar biasa bagi kelab tersebut.

“Saya lebih bimbang jika pemain tidak bergaduh dan bertengkar dan merenung wajah satu sama lain dengan marah. Jika kita tidak berjaya, kita perlu bertanya kenapa,” kata Ferdinand.

“Saya telah menyertai banyak skuad yang berlainan di Manchester United dan saya pernah melihat pergaduhan, saya pernah melihat pertengkaran, dan ia berlaku tidak kira menang atau kalah,” tambahnya.

Manchester United menamatkan kempen di tempat ketujuh dalam divisyen utama Inggeris, yang terendah bagi mereka sejak 1990.

Namun Ferdinand berpendapat keputusan itu tidak akan menjejaskan urusan kelab dalam pasaran perpindahan pada musim panas.

“Saya tidak rasa ia akan menjadi satu masalah pada musim panas ini. Jika kami tidak bermain bagi tempoh yang lama di Eropah, baharulah kita mula ada masalah, kita melihat perkara itu dengan Liverpool,” katanya.

“Bagi tempoh beberapa tahun akan datang, saya tidak melihatnya sebagai satu masalah. Kelab ini adalah sebuah kuasa besar, ia adalah gergasi. Saya rasa pemain masih melihat Manchester United dengan rasa cemburu dan mahu bermain untuk United.”

Ferdinand enggan mengulas tentang langkahnya seterusnya tetapi dia mengakui ada menerima tawaran dari Asia. — AFP

Advertisement