Anda di sini

Dyana Sofya calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil Teluk Intan

Advertisement

TELUK INTAN: DAP semalam mengumumkan Setiausaha Politik kepada anggota Parlimen Gelang Patah, Dyana Sofya Mohd Daud, 27, sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng membuat pengumuman itu semasa perasmian Pusat Operasi Utama PRK Teluk Intan di sini.

Lim dalam ucapannya berkata: “Jawatankuasa membuat keputusan memilih Dyana Sofya sebagai calon berdasarkan tiga sebab iaitu sudah tiba masanya untuk pilih orang muda, memberi peluang kepada golongan wanita untuk kesaksamaan gender dan mahu tonjolkan prinsip DAP yang berbilang bangsa.”

Sementara itu Dyana Sofya yang merupakan seorang peguam berkata cabaran yang akan dihadapinya akan lebih hebat dan ia akan mendewasakan perjuangan demokrasi yang dijunjungnya selama ini.

“Malaysia memerlukan politik baharu dan meninggalkan politik perkauman. Saya memilih untuk ikut haluan serta sebuah usaha ke arah Malaysia yang lebih baik,” kata Dyana Sofya.

Anak kelahiran Ipoh, Perak dan lulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi MARA itu berkata sebagai calon muda beliau sentiasa menyokong amalan politik baharu yang melampaui benteng perkauman.

“Ibarat minuman teh tarik yang tidak mengenal sempadan warna, umur dan segala-galanya, teh tarik terus digemari seluruh rakyat Malaysia. Begitulah perjuangan kita di tanah air tercinta, bersama-sama mencari ramuan teh tarik terbaik untuk kita, rakyat Malaysia,” katanya.

Dyana Sofya yang menjadi anggota DAP pada Disember 2011 dan dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang pada tahun lepas, berkata penglibatan aktif ibunya Yammy Samat, 59, dalam politik dan aktiviti masyarakat menjadi pembakar semangatnya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, akibat kanser pada 1 Mei lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Seah, 48, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi. Penamaan calon bagi PRK Parlimen Teluk Intan ditetapkan pada 19 Mei ini dengan disusuli pengundian awal pada 27 Mei serta hari pengundian 31 Mei.

Sementara itu, Yammy yang merupakan anggota UMNO sejak berusia 18 tahun sehingga kini, menyifatkan sokongannya kepada Dyana Sofya adalah daripada seorang ibu kepada anak dan sudah tentu beliau tidak ‘membuang’ anaknya hanya kerana parti. — Bernama

Advertisement