Anda di sini

Bahulu Siti Kadeja harus ‘rasa dahulu baharu tahu’

Advertisement

Oleh Hamimi Kassim //

PANAS DARI KETUHAR: Khadijah sedang menyediakan bahulu untuk dijual kepada pelanggannya di Medan Niaga Satok.

“RASA dahulu baharu tahu. Kalau sedap jangan lupa beritahu kawankawan,” kata Siti Khadijah Mohammad Taib, 35, seorang pembuat kuih bahulu jenama Siti Kadeja di gerai runcit bernombor 127 dan 128 di Medan Niaga Satok dekat Kuching.

Selepas merasai kuih tradisional itu, penulis mengakui keenakan dan kelembutan kuih bahulu Khadijah, apatah lagi dimakan panas-panas sambil menghirup kopi ‘o’.

Menurut Khadijah, kuih bahulu terus menjadi pilihan pelbagai lapisan bangsa dan bukan lagi masa termasuklah di gerai saya ini.

“Berbekalkan resipi turun-temurun daripada ibu saya, dorongan dan sokongan suami dan anak-anak menyebabkan timbul idea untuk memulakan perniagaan bahulu ini,” katanya ketika ditemui pemberita di kedainya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Khadijah memberitahu penglibatan dalam pengeluaran kuih itu bermula kira-kira dua tahun lalu apabila dia nekad memulakan perniagaan bersama suaminya.

SANTAN SEGAR: Nasir memarut kelapa di gerainya bagi menghasilkan santan segar untuk pelanggan.

“Setelah berpindah ke Sarawak dari Selangor mengikut suami, saya tidak bekerja dan hanya duduk di rumah.

“Dari situlah hasrat untuk berniaga timbul dan saya mengambil keputusan membantu meningkatkan pendapatan suami,” katanya berasal dari Selangor dan suaminya, Mohd Nasir Abdullah, 42, berasal dari Kampung Gita di Kuching.

Ceritanya lagi, idea mengusahakan kuih bahulu timbul apabila melihat potensi pasaran yang luas di Kuching selain masih sedikit bilangan mengusahakannya secara komersial.

Justeru, ibu kepada empat anak itu sanggup melabur duit simpanannya bagi membeli peralatan seperti ketuhar dan mesin pengadun.

Sejak itu, katanya, dia tidak menoleh ke belakang lagi dengan memberi sepenuh perhatian kepada perusahaan pengeluaran bahulu secara komersial.

“Saya yakin dengan sambutannya yang sentiasa menggalakkan di kalangan orang ramai tidak kira bangsa.

“Setelah dua tahun beroperasi, saya bersyukur kerana berkat dorongan suami dan anak-anak perniagaan kuih bahulu saya ini mempunyai peminatnya sendiri dan jualan sungguh menggalakkan,” katanya.

Ditanya keistimewaan serta perbezaan Bahulu Siti Kadeja daripada bahulu lain jelasnya, ianya lembut, tidak keras dan gebu.

MURAH: Nabilah Haiqal menunjukkan santan segar yang dihasilkan oleh bapanya. Santan di gerai Nasir di Medan Niaga Satok dijual dengan harga RM3 setengah kilogram.

Perbezaannya juga, Khadijah menggunakan konsep memasak terus di kedai kerana selain segar, pelanggan boleh menikmati bahulu panas dan melihat sendiri cara pembuatannya.

“Tiada rahsia dalam adunan bahulu saya, cuma seyuman dan ikhlas menyebabkan ramai pelanggan datang ke sini,” guraunya.

Selain menjual kuih bahulu, Khadijah memberitahu dia turut membuat ‘sagun’ yang diperbuat daripada tepung beras serta kelapa dan gula yang enak dimakan bersama pisang, durian atau dimakan begitu sahaja.

“Saya juga ada membuat popia rumpai laut dan menjual produk makanan tempatan lain seperti kerepek, kuih cincin, kuih sepit dan banyak lagi yang diambil daripada penduduk kampung di Sadong Jaya, Samarahan dan Lundu.

“Selain bagi menambah lagi produk jualan di kedai saya, dengan cara ini saya dapat membantu pengusaha makanan di kampung untuk menambah pendapatan,” katanya.

Sementara isterinya membuat kuih, Nasir pula mengusahakan perniagaan membuat santan di gerai tersebut.

“Sememangnya saya gembira apabila Khadijah mengambil keputusan menceburkan diri dalam perniagaan,” jelasnya.

Menceritakan pengalamannya, Nasir sememangnya sudah lama menceburkan diri dalam perniagaan sejak berada di Selangor dahulu dengan menjual ayam.

“Semasa menjual ayam, pada masa itu kita turut menjual santan dan mendapati santan lebih banyak permintaannya daripada ayam.

“Justeru, apabila pulang ke Sarawak saya nekad meneruskan perniagaan menjual santan segar,” katanya yang pulang ke Sarawak untuk menjaga orang tuanya.

Menurut Nasir lagi, permintaan santan segar di gerainya sungguh memberangsangkan dan dia turut mendapat tempahan daripada kedai-kedai makanan serta pengusaha katering di bandar ini.

Nasir menambah, santan segarnya dijual dengan harga RM3 setengah kilogram dan kelapa untuk membuat santannya diambil dan diperolehi dari Asajaya, Kota Samarahan.

Advertisement