Anda di sini

Azlan Man ketuai penerima darjah sempena keputeraan Raja Perlis

Advertisement

ARAU: Menteri Besar Azlan Man mengetuai senarai 243 penerima anugerah darjah kebesaran negeri Perlis sempena ulang tahun keputeraan ke-71 Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, di Istana Arau di sini semalam.

Azlan, yang dilantik sebagai Menteri Besar selepas Pilihan Raya Umum ke-13 Mei tahun lepas, dianugerahi ‘Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis’ (SPMP) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’.

Tiga lagi penerima SPMP ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan pemaju Country Heights dan Mines, Tan Sri Lee Kim Tiong @ Yew.

Mustapa bagaimanapun tidak menghadiri istiadat penganugerahan kerana berada di luar negara atas urusan rasmi.

Dua orang menerima anugerah ‘Datuk Paduka Mahkota Perlis’ (DPMP) iaitu Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Pengangkutan dan Pembangunan Wilayah Sabry Ahmad dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang Prof Dr Muhamad Jantan.

Penerima darjah ‘Datuk Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail’ (DSPJ) pula ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pesaka Shabaruddin Ibrahim dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Emkay Fazwinna Tan Sri Mustapha Kamal.

Selain itu, tiga orang menerima ‘Datuk Panglima Sirajuddin Jamalullail’ (DPSJ) iaitu Naib Presiden Kanan Felda Global Ventures Holdings Bhd Datuk Abdul Halim Hamid; Pemangku Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita Pusat Pengajian Sains Perubatan USM Kubang Kerian, Kelantan Prof Datin Dr Rashidah Shuib; dan pesara guru, Syed Kamarulzaman Syed Bahaldin.

Darjah DPMP, DSPJ dan DPSJ membawa gelaran ‘Datuk’.

Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menganugerahi darjah-darjah kebesaran itu kepada 30 orang penerima hari ini manakala 213 orang lagi akan menerima anugerah mereka dalam majlis pada hari lain.

Darjah-darjah kebesaran yang tidak membawa gelaran pula ialah Setia Mahkota Perlis (SMP) dianugerah kepada enam penerima; Seri Sirajuddin Perlis (SSP) (13 penerima); Ahli Mahkota Perlis (AMP) (35 penerima).

Pingat Mahkota Perlis (PMP) (21 penerima); Pingat Keberanian Handal (PKH) (1 penerima); Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (64 penerima); Pingat Jasa Baik (PJB)(84 penerima); dan Pingat Perkhidmatan Lama (PPL) (8 penerima).

Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Hamdan Bahari serta dua anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mat Rawi Kassim dan Mat bin Hassan, serta setiausaha Politik Menteri Besar Senator Mohd Khalid Ahmad adalah antara enam penerima SMP.

Tiga wartawan iaitu Penolong Pengarang (Rencana) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Adnan Jahaya menerima SSP; Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Rosmanizam Abdullah menerima AMP; dan wartawan eksekutif Utusan Malaysia, Ariffin Yassin menerima PMP.

Bekas pemain bola sepak negara tahun 1970-an, Syed Ahmad Abu Bakar, 67, menerima PMP manakala bekas pemain pertahanan pasukan bola sepak Perlis Manja Man menerima PJK. — Bernama

Advertisement