Anda di sini

Atlet muaythai dicabar raih lima emas pada SUKMA KL tahun depan

Advertisement

KUCHING: Atlet muaythai Sarawak dicabar untuk membawa pulang lima pingat emas pada temasya SUKMA yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada tahun depan.

Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) Affandi Keli melaungkan cabaran itu setelah melihat peningkatan mendadak ditunjukkan oleh petinju-petinju muaythai negeri pada kejohanan peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa sebelum ini.

“Saya sentiasa mencabar persatuan sukan untuk kerana kementerian telah menyediakan peruntukan bagi membantu mereka melaksanakan program yang telah dirancang,” katanya semasa majlis meraikan kejayaan atlet muaythai Sarawak di Jabatan Belia dan Sukan Sarawak (JBS) semalam.

“Harapan saya agar muaythai dapat menghadiahkan lima pingat emas pada SUKMA tahun depan.”

Beliau percaya skuad muaythai mampu memperbaiki pencapaian pada SUKMA 2015 berbanding dengan pungutan satu emas, dua perak dan satu gangsa pada penampilan sulung mereka tahun lalu.

“Kita akan persediaan awal yang akan bermula dalam tempoh terdekat sebagai persediaan menghadapi SUKMA tahun depan,” tambahnya.

Menurut Affandi lagi, skuad muaythai Sarawak juga mula mencuri tumpuan setelah empat petinju negeri berjaya menghadiahkan satu emas, dua perak dan satu gangsa pada Kejohanan Muaythai IFMA Remaja Dunia dan Kejohanan Muaythai IFMA Dunia 2014 yang berlangsung di Pulau Langkawi, Kedah pada 1-10 Mei lalu.

“Kita mendapat perhatian istimewa daripada badan induk negara setelah berjaya mencapai kejayaan yang cukup membanggakan walaupun masih baharu dalam sukan ini.

“Tahniah kepada semua atlet kita yang telah berjaya mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia di kejohanan bertaraf dunia.”

Beliau turut merakamkan tahniah kepada Presiden Persatuan Muaythai Kuching (PMK) Jumaat Ibrahim yang dianugerahkan ‘Outstanding Contributions Towards The Growth and Development Of Muaythai in Malaysia’ daripada Badan Muaythai Dunia IFMA di atas sumbangannya dalam membangunkan sukan itu di sini.

Pada masa sama, Affandi turut berharap Persatuan Muaythai Sarawak (PMS) yang telah dibubarkan oleh Suruhanjaya Sukan Sarawak pada November 2013 dapat dihidupkan semula pada tahun ini.

Ini katanya bagi memudahkan penubuhan pasukan muaythai yang lebih mantap dan disertai semua atlet dari pelbagai bangsa dari seluruh negeri.

Selain itu, ia juga diharap dapat membantu mencungkil lebih ramai petinju muda yang berpotensi untuk mewakili Sarawak pada kejohanan di peringkat yang lebih tinggi.

Pada majlis sama, Affandi turut menyampaikan insentif khas kepada enam petinju yang mewakili negara pada Kejohanan Muaythai IFMA.

Hadir sama Presiden PMK Jumaat dan wakil pengarah JBS Zulfadli.

Advertisement