Anda di sini

Betong anjur Karnival Gawai untuk kekalkan tradisi

Advertisement

SETIAP  tahun pada 1 Jun, masyarakat Dayak menyambut Hari Gawai Dayak bagi menandakan selesainya musim menuai padi dan memuja semangat padi sambil mengharapkan hasil bertambah dari tahun ke tahun.

Namun, tradisi bertanam padi kian ditinggalkan oleh anak muda yang memilih untuk  berhijrah ke bandar bagi mencari pekerjaan kerana beranggapan hasil yang diperolehi daripada tradisi bertanam padi tidak menguntungkan. Tambahan pula padi hanya dapat dituai setahun sekali.

Penghijrahan telah mempengaruhi cara sambutan Gawai dalam kalangan orang muda Dayak dan amalan tradisi semakin pupus serta ditinggalkan oleh mereka yang kini ada cara tersendiri dalam menyambut perayaan tersebut.

Menyedari hakikat tersebut, di Betong, Jawatankuasa Sambutan Karnival Gawai peringkat bahagian telah ditubuh bagi mengendalikan penganjuran program berbentuk karnival dengan penambahbaikan dalam aktiviti dan atur cara.

Pada tanggal 9 Mei lepas, bermulalah acara sambutan Karnival Gawai yang bakal diselit dalam kalendar aktiviti tahunan.

Bagi penganjuran Karnival Gawai kali ini yang berakhir pada 11 Mei lepas, pelbagai acara diadakan seperti perarakan Gawai, pemeriksaan kesihatan, gerai jualan selain beberapa pertandingan seperti kumang dan keling, menyumpit, teka-teki, mewarna, tarik tali dan tarik tali atas air.

Sambutan yang bakal merubah tradisi yang sebelumnya biasanya diadakan menjelang 31 Mei dan dirayakan pada 1 Jun akan dipelbagai dengan acara yang membolehkan Gawai diraikan sepanjang tempoh sebelum perayaan.

Di samping melibatkan agensi kerajaan dan penduduk setempat, murid-murid sekolah juga dijemput menyertai karnival tersebut. Selain itu, penyertaan kaum lain dalam setiap aktiviti amat dialu-alukan bagi memeriahkan lagi karnival.

Karnival Gawai 2014 baru-baru ini telah dirasmikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Dewan Panglima Rentap, Betong.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Betong meluangkan masa menyertai perarakan Gawai yang disertai sebanyak 21 kontinjen.

Dalam ucapan perasmiannya, Uggah menyatakan rasa terima kasih atas perancangan karnival tersebut yang dapat memberi impak cukup besar kepada kemeriahan sambutan Hari Gawai.

Justeru katanya, usaha untuk menjadikan Karnival Gawai sebagai satu produk yang dibangunkan dalam industri pelancongan di bahagian Betong akan tercapai dan tradisi sambutan Gawai akan dapat dikekalkan.

Jika Karnival Gawai mampu menarik pelancong ke Betong, maka ia bakal menyerlahkan juga potensi tempat dan bangunan bersejarah di Betong untuk merancakkan industri pelancongan.

Misalnya Bukit Sadok yang menyimpan sejarah kepahlawanan Panglima Rentap dan Kubu Lily yang pernah dijadikan tempat perlindungan Rajah Brooke daripada pejuang-pejuang tempatan yang dianggap musuh, boleh dijadikan tarikan pelancongan yang amat berpotensi.

Advertisement