Anda di sini

Kraf anyaman jana pendapatan lumayan

Advertisement

Oleh Sandy Mark Luna  //

BERBAKAT: Roselind mempamerkan hasil kraf anyaman yang dibuatnya.

KALAU dahulu anyaman hanya digunakan untuk membuat tikar, namun atas kreativiti dan inovasi pengusahanya ia kini turut diguna pakai dalam pembuatan beg tangan, dompet, beg sandang, kotak tisu, bekas pensel dan bermacam-macam lagi.

Antara bahan yang digunakan secara meluas dalam perusahaan kraf tangan khasnya menganyam tikar adalah bemban atau nama saintifiknya ‘donaz grandis’.

Bemban adalah sejenis tumbuhan ‘monocot’ yang mempu­nyai akar serabut termasuk pokok pinang, kelapa dan tebu digunakan secara meluas dalam perusahaan kraf tangan.

Roselind Satot yang berasal dari Kampung Entayan Keropok di Serian adalah antara usahawan yang menceburi bidang kreatif itu sejak 16 tahun yang lalu.

Penglibatannya dalam bidang anyaman itu katanya, banyak dipengaruhi oleh orang tua di kampung tersebut yang menganyam bemban, apatah lagi apabila kampung itu juga bernaung di bawah projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI).

“Minat saya mula timbul melalui pemerhatian daripada orang lama yang menganyam bemban kerana hasil seninya yang halus dengan pelbagai motif membuatkan saya mahu mendalaminya.

“Semasa saya baharu berjinak-jinak dalam industri ini, saya hanya menganyam tikar dan kemudian bekalkan kepada kedai kraf tangan,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

KREATIF: Bekas menyimpan telefon bimbit.

Ibu kepada tiga orang anak itu mula membuat dan menjual tikar bemban apabila setahun menganggur selepas meletak jawatan dari sebuah syarikat swasta  di Kuching kerana masalah pengangkutan.

“Hampir setahun menganggur, saya bertanya kepada diri saya apa yang saya boleh buat bagi menjana pendapatan dan kemudian membuat keputusan untuk mengaplikasikan kemahiran sedia ada iaitu menganyam,” katanya.

Kos untuk memulakan perusahaan secara kecil-kecilan itu tidak memerlukan modal yang banyak katanya, memandangkan hampir kesemua proses dari mencari bemban, melerai, mewarna dan menganyam adalah dibuat oleh dirinya sendiri.

Manakala pada tahun 2002, beliau yang menyertai Program Bimbingan Usahawan (EGP) menerima mesin dan peralatan  untuk membuat kraf  yang bernilai RM8,000.

EGP itu diperkenalkan dengan tujuan membangunkan wanita menjadi  lebih produktif dalam bidang ekonomi  selaras dengan visi  dan misi Jabatan Pertanian dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8).

Program itu secara amnya bertujuan untuk mengenal pasti aktiviti-aktiviti bagi menambah pendapatan  di kalangan wanita yang berpotensi serta berkemahiran dan berpengetahuan dalam bidang pertanian, pemprosesan makanan atau kraf tangan melalui penerapan ciri-ciri budaya niaga yang sistematik.

TERTARIK: Seorang pelanggan tertarik melihat kraf anyaman yang dihasilkan oleh Roselind.

Melihat perusahaannya semakin berkembang, bantuan itu  dinaik taraf kepada Program Industri Kecil (SSI) yang diperkenalkan untuk menaikan taraf perusahaan industri kampung ke tahap industri kecil.

Ia bertujuan untuk membentuk industri kecil yang berdaya maju  di kalangan perusahaan yang terlibat dalam program bimbingan cawangan Pembangunan Ekonomi Wanita Jabatan Pertanian (WEDA).

“Dalam SSI, saya menerima bantuan sebanyak RM80,000  yang diterjemahkan kepada bengkel dan mesin-mesin.

“Pendapatan saya yang sebelum itu RM800 di bawah EGP, naik ke RM2,000 ke atas sebulan dan kadang-kadang musim cuti sekolah, pendapatan boleh mencecah RM5,000,” katanya.

Beliau kemudian menghasilkan ciptaan baharu dan menggunakan warna lebih menarik, tanpa mengubah  ciri-ciri unik yang terdapat pada produk kraf tangan tradisional yang dihasilkan.

Roselind yang merupakan isteri kepada penjawat awam, turut dibantu oleh ibu serta anak-anaknya dalam proses tersebut, selain mengupah pelajar untuk melakukan proses mengegam dan menggunting.

Manakala untuk  menjahit beg, beliau mendapat bantuan daripada adiknya.

“Sekarang anyaman saya beli dari kampung selepas itu saya sendiri akan potong, reka, bergantung kepada permintaan,” katanya.

Selain anyaman, Roselind turut membuat  beg-beg menggunakan kain bermotifkan etnik  di negeri ini.

Produk-produk  yang dipasarkannya turut menerima tempahan dari Semenanjung Malaysia,  selain dibekalkan ke kedai-kedai kraf tangan dan cenderamata.

Bengkelnya terletak  di Kampung Merdang, Kota Samarahan dan orang ramai yang berminat untuk mengunjungi atau membuat tempahan, boleh menghubungi 019-8487761.

Advertisement