Anda di sini

Dadah RM4.6 juta dirampas

Advertisement

DIRAMPAS: Noor Rashid menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas seberat 22.9 kg bernilai RM4.6 juta selepas mengadakan sidang media di Bukit Aman di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

Enam warga asing termasuk Raja Dadah dari Iran ditahan

KUALA LUMPUR: Polis merampas dadah jenis syabu bernilai RM4.6 juta dan menahan enam warga asing termasuk seorang lelaki warga Iran yang amat dikehendaki kerana terlibat dalam sindiket dadah antarabangsa.

Dalam operasi dua hari bermula Isnin lepas di Lembah Klang dan Selangor itu, polis berjaya merampas keseluruhan dadah jenis syabu seberat 22.9 kilogram.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata dalam serbuan pertama pada Isnin lepas, tiga lelaki warga Iran ditahan ketika menaiki sebuah kereta di Ampang Utama.

“Polis menemui empat bungkusan syabu seberat 2 kilogram yang diletakkan di tempat duduk belakang kenderaan berkenaan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, semalam.

Beliau berkata dalam serbuan kedua pada hari yang sama, seorang wanita warga Nigeria turut ditahan di sebuah pangsapuri di Bukit Jalil sebelum menemui lima bungkusan plastik syabu seberat 2.6 kilogram yang disembunyikan di dalam lima kotak perakam video.

“Pada jam 4.15 petang, polis telah menyerbu sebuah pangsapuri di tempat yang sama dan merampas syabu seberat 6.1 kilogram yang disembunyikan dalam lima bungkusan makanan ringan termasuk 14 gram ganja ditemui dalam kotak perakam video. Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat,” katanya.

Noor Rashid berkata susulan daripada tangkapan itu, pihaknya menahan seorang lelaki warga Nigeria di sebuah unit lain dan merampas sebuah beg galas mengandungi tiga bungkusan plastik berisi 718 gram syabu.

Sementara itu, dalam operasi yang berasingan hari yang sama, seorang lelaki warga Iran yang paling dikehendaki polis dan digelar Raja Dadah ditahan ketika berada di sebuah pusat beli-belah kira-kira jam 11.40 malam.

“Suspek merupakan kepala dalam sindiket pengedaran dadah, yang menjadi dalang utama dalam beberapa sindiket pengedaran dadah warga Iran yang ditumpaskan sebelum ini,” katanya.

Pada jam 9 pagi keesokannya, sebanyak lapan bungkus syabu seberat 11.5 kilogram ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Sabak Bernam ketika operasi mengesan pendatang asing tanpa izin.

“Ketika menjalankan operasi itu, polis menemui sebuah beg galas berkunci di bawah pokok kelapa sawit yang berisi syabu, bagaimanapun dipercayai ia telah ditinggalkan suspek,” katanya.

Kata Noor Rashid, kesemua tangkapan yang berumur 20 hingga 46 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952. — Bernama

Advertisement