Anda di sini

Ahmad sahkan tarik balik keputusan keluar UMNO

Advertisement

Beliau turut memohon maaf kepada Najib semalam

KEMAMAN: Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said semalam mengesahkan beliau menarik kembali keputusannya untuk keluar daripada UMNO dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Ahmad, yang juga Ahli  Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, berkata beliau sudah memohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuan bersama perdana menteri di Putrajaya tengah hari semalam berhubung perkara itu dan mereka saling bermaafan atas salah faham yang berlaku.

“Hubungan tegang itu tercetus apabila saya memberitahu PM yang majlis perkahwinan anak saya pada 17 Mei yang akan berlangsung di kediaman kami di Telok Kalong.

“Namun PM kata itu masalah personal…ini melibatkan anak saya dan maruah saya sehingga saya mengambil keputusan meletakkan jawatan dalam UMNO dan keluar daripada parti,” katanya dalam sidang media, petang semalam.

Turut menarik balik peletakan jawatan semalam ialah ADUN Ajil Ghazali Taib.

Ahmad berkata beliau dan Ghazali tetap setia dan sayangkan UMNO.

“Saya dan Ghazali menarik balik peletakan jawatan tersebut dan kekal sebagai ahli UMNO dan ADUN di kawasan kami,” katanya.

Kata Ahmad, beliau sedikit pun tidak berdendam terhadap apa yang berlaku, sebaliknya akan menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di kawasannya seperti biasa.

Beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Te-rengganu pada 12 Mei lepas setelah berjumpa dengan perdana menteri awal pagi itu.

Berikutan itu, ADUN Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik menjadi menteri besar yang baharu dan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.

Pada 13 Mei, Ahmad, Gha-zali dan ADUN Bukit Besi Roslee Daud mengisytiharkan bahawa mereka keluar daripada UMNO dan menjadi wakil Bebas.

Sehubungan itu, politik di Terengganu dilihat bergolak apabila Barisan Nasional hanya mempunyai 15 kerusi DUN (termasuk undi Speaker dewan) daripada 32 kerusi, manakala PAS memiliki 14 kerusi, PKR (1), dan Bebas (2).

Semalam, Ahmad Razif dan semua ADUN Terengganu mengadakan pertemuan dengan perdana menteri untuk membincangkan masalah yang dihadapi UMNO Te-rengganu. — Bernama

Advertisement