Anda di sini

12 peluncur tempatan beraksi bersama benak

Advertisement

Oleh Kelvin Lambai //

Selain peluncur dari Sri Aman, Pesta Benak 2014 turut tampilkan beberapa peluncur dari Kuala Lumpur

SRI AMAN: Seramai 12 peluncur benak tempatan dijangka meluncur bersama benak pada Pesta Benak Sri Aman 2014 yang akan berlangsung di Batang Lupar di sini, pada 16 hingga 18 Mei ini.

Antara peluncur tempatan tersebut ialah Normaslina Nor, Radouane Banzai, Wahup Habesah, David Ho, Jones Mackean Max Kinchai, Fatin Putri Jamuri, Isyamudin Ishak, Mohd Amsyar Jamali dan Abdillah Ahmad serta beberapa peluncur dari Kuala Lumpur.

Salah seorang peluncur, Normaslina Nor ketika ditemui berkata dia telah mula berjinak-jinak dengan sukan meluncur benak sejak 2011 dengan percubaan meluncur benak yang pertama pada 2012 dan meluncur benak pada tahun ini adalah percubaan ketiganya.

Ketika ditanya tentang pengalaman meluncur benak yang masuk tahun ketiga pada tahun ini, dia menjelaskan bahawa meluncur benak adalah sukan yang mencabar.

“Pada mulanya memang rasa takut kerana terpaksa berdepan dengan benak yang besar tetapi kini saya telah mula menyesuaikan diri untuk meluncur  bersama benak walaupun benak tersebut tinggi,” ujarnya ketika ditemui pada sesi bertemu media bersama peluncur Benak Sri Aman di sini kelmarin.

Sementara itu, anak kepada Normaslina Nor iaitu Fatin Putri Jamuri antara pelucur muda berusia 16 tahun yang bakal berakhir pada pesta benak tahun ini menjelaskan, ini adalah percubaan pertamanya pada tahun ini.

Menurutnya, dia telah menyesuaikan diri bermain papan luncur sejak Ogos 2012 dan pada masa itu belum lagi mencuba untuk meluncur benak dan tahun 2014 adalah percubaan pertamanya melucur benak.

Fatin turut berharap agar pada Pesta Benak tahun ini dia dapat memberi sumbangan terbaik kepada Sri Aman dan menjadi peluncur benak termuda yang menyahut cabaran meluncur benak pada tahun ini.

Sementara itu, Jones Mackean Max Kinchai dan David Ho yang turut berkongsi pengalaman menjelaskan bahawa tahun ini adalah percubaan kali kedua mereka meluncur benak di Batang Lupar.

“Pada tahun lepas kami mencuba meluncur benak bermula dari Bakong menuju ke Sri Aman dan pada tahun ini kami mencuba tempat baharu iaitu mencuba meluncur dari Kampung Skra menuju ke Sri Aman,” jelasnya.

Menceritakan pengalamannya, Jones berkata pada mulanya dia berasa takut untuk berhadapan dengan benak tetapi kini telah menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut.

David Ho yang merupakan jurugambar terkenal di Sri Aman turut berkongsi pengalaman manis apabila dia berasa gementar ketika pertama kali mencuba meluncur pada tahun lalu.

“Memang saya terfikir pada masa itu, buaya di Batang Lupar tetapi saya tidak menghiraukan buaya di Batang Lupar ini disebabkan niat saya ingin mencuba meluncur.

“Tapi syukurlah saya telah berjaya bersama rakan-rakan yang lain mencuba meluncur benak di sini yang cukup unik dan menarik,” jelasnya.

Seorang lagi peluncur muda yang berusia 18 tahun, Isyamudin Ishak turut berkongsi pengalamannya yang mula meluncur pada 2013.

Menurutnya, pada mulanya dia berasa takut kerana terpaksa berhadapan dengan benak yang besar tetapi dia cukup berpuas hati dengan aktiviti lasak seperti itu.

Ketika ditanya mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakan, Isyamudin berkata semasa meluncur dia pernah terserempak dengan buaya besar dan terasa ingin terjun semasa berdepan situasi berkenaan.

Hadir sama Timbalan Residen Sosial Bahagian Sri Aman Hamdan Katang.

Advertisement