Anda di sini

Wanita bergelar ibu galas tanggungjawab besar

Advertisement

Oleh Nicklos Louis Kaderi

 

MUKAH: Selain sebagai suri rumah, wanita bergelar ibu merupakan insan yang menggalas tanggungjawab besar dalam menyediakan iklim yang mampu membentuk keperibadian dan jati diri dalam keluarga.

Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata ibu mempunyai tanggungjawab besar selain bapa kerana ibu merupakan pengasuh utama yang menjadikan anak-anak insan yang berguna.

Beliau memberitahu, perkara pertama yang harus wanita bergelar ibu faham ialah peranan mereka sebagai pengasuh dan pendidik kepada anak-anak.

“Sebagai pengasuh utama yang mendidik, membimbing dan membentuk ahli keluarga, para ibu seharusnya mengetahui peranan mereka sebagai seorang ibu selain menjadi pelindung dan menjamin keselamatan serta kebajikan anak-anak.

“Sebagai pemberi dan pembekal perasaan kasih sayang keluarga, ibu menyediakan suasana sosial dan persekitaran emosi yang membina rasa yakin dan percaya kepada anak-anak,” katanya sempena sambutan Hari Ibu Peringkat Daerah Dalat di pekarangan Pejabat Daerah Dalat semalam.

Fatimah berkata sebagai seorang ibu mereka perlu memiliki sifat keibuan supaya dapat berperanan secara berkesan sebagai pengasuh, pembimbing, pendidik dan pembentuk anak-anak yang berjiwa besar serta berbudi pekerti mulia.

Selain itu, ibu mesti jelas tentang sifat dan peribadi serta watak anak-anak yang ingin dilahir dan dibentuk agar dapat memenuhi tanggungjawab kerohanian, sosial, kemasyarakatan dan ekonomi.

“Ibu perlu memahami psikologi pembesaran dan keperluan anak-anak pada setiap fasa dan perkembangan bemula peringkat bayi sehingga anak-anak dewasa.

“Selain itu mereka juga perlu memahami dan mengetahui perubahan sosiobudaya serta tuntutan persekitaran kompetitif dan kompleks yang bakal dihadapi anak-anak,” katanya.

Dalam pada itu, Fatimah berkata zaman ini dan seterusnya bekerja merupakan satu keperluan dan para ibu memerlukan kebijaksanaan dalam mengimbangi antara tanggungjawab kerjaya dan tanggungjawab keluarga.

“Kedua-duanya iaitu kerjaya dan keluarga merupakan keperluan sama penting dalam menjamin kesejahteraan, kebajikan dan kerukunan rumah tangga,” katanya.

Advertisement