Anda di sini

Tiga balu anggota SC zaman darurat rayu sagu hati khas

Advertisement

BALING: Tiga balu anggota pasukan keselamatan Konstabel Khas (SC) merayu sumbangan sagu hati khas kepada bekas polis yang berkhidmat semasa zaman darurat di Semenanjung sejak 1948 hingga 1962, yang mereka dakwa masih belum diterima.

Sehubungan itu, mereka memohon Bahagian Hal Ehwal Veteran Polis Diraja Malaysia menimbang menyegerakan pembayaran Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) itu.

Tiga balu berkenaan Wayah Abu bakar, 88, dan Khadijah Teh, 84, dari Kampung Tandop serta Yamek Yaakob, 88, dari Kampung Rumah Besi di sini berharap dapat merasai wang itu kerana masih belum menerimanya selepas beberapa kali memohon sebelum ini.

“Kalau boleh kami rayu sebelum kami menutup mata ingin nak rasa wang hasil perjuangan suami kami menentang komunis,” kata Wayah kepada Bernama di sini.

Walaupun ada usaha dilakukan oleh anak-anak mereka untuk mendapatkan wang untuk anggota atau balu pasukan keselamatan zaman darurat itu namun masih tidak mendapat jawapan jelas selain surat pengesahan permohonan sahaja diterima pada 7 Dis 2012.

Wayah berkata suaminya Hamzah Wateh yang meninggal dunia lima tahun lalu berkhidmat sebagai anggota SC di kawasan hitam di Kelian Intan di Gerik, Perak.

“Saya merayu segerakanlah penyerahan wang sagu hati khas itu. Wang bantuan pertama difahamkan RM1,000 dan bantuan kedua RM3,000, saya nak rasa wang itu sebelum saya menutup mata,” katanya.

Khadijah, isteri kepada anggota SC Omar Wan Long yang pernah bertugas di Baling, Kedah dan meninggal dunia lebih 10 tahun lalu  juga merayu pihak Bahagian Hal Ehwal Veteran supaya menyegerakan penyerahan wang itu.

“Kalau saya dah meninggal wang itu tidak boleh dituntut anak-anak saya, saya hendak merasa wang pemberian kerajaan atas mengenang jasa perjuangan suami saya sewaktu menjadi anggota SC,” katanya.

Yamek pula berkata suaminya Osman Mahmud meninggal dunia 12 tahun lalu dan menjadi anggota SC di kampungnya dan dia masih tidak dapat melupakan keadaan amat getir kerana komunis sentiasa muncul di kawasan kampung dan menimbulkan masalah. — Bernama

Advertisement