Anda di sini

SPR pantau perkembangan, siap sedia bagi pilihan raya negeri

Advertisement

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau perkembangan politik di Terengganu selain bersiap sedia menghadapi kemungkinan diadakan pilihan raya negeri.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR kena buat persediaan kerana hanya mempunyai masa 60 hari seperti termaktub dalam perlembagaan untuk mengadakan pilihan raya negeri sekiranya Dewan Undangan Negeri Terengganu dibubar.

Terengganu sebuah negeri yang luas iaitu mempunyai 32 Dewan Undangan Negeri, katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Abdul Aziz berkata dengan merujuk kepada situasi terkini di Terengganu yang mempunyai bilangan kerusi DUN genap iaitu 32, semua parti politik wajar menyokong usaha SPR melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

“Perlunya persempadanan semula ini untuk jadikan kerusi DUN dan Parlimen ganjil kerana jika genap akan timbul masalah bila kedudukan kerusi menjadi 50-50,” katanya.

Kali terakhir persempadanan semula dilakukan adalah pada 2003 dan ia sepatutnya diadakan semula pada 2011 namun ditangguhkan bagi memberi tumpuan kepada PRU13, katanya.

Abdul Aziz menarik perhatian bahawa pilihan raya negeri memerlukan perbelanjaan tinggi, lebih-lebih lagi bagi negeri sebesar Terengganu.

Terengganu menjadi tumpuan susulan peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar kelmarin, selain turut mengisytiharkan keluar UMNO dan menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas bagi kerusi Kijal.

Turut mengikut jejak Ahmad ialah Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi).

Berikutan perkembangan terbaharu itu, BN kini mempunyai 14 daripada 32 kerusi DUN Terengganu, PAS (14), PKR (1) dan Bebas (3).

Berikutan peletakan jawatan Ahmad, Adun Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu.

Beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, kelmarin. — Bernama

Advertisement