Anda di sini

Penduduk Kampung Bruit berterima kasih kepada kerajaan perbaiki jalan

Advertisement

ROSAK: Jalan simen di Kampung Bruit sebelum kerja-kerja membaiki dilakukan.

SIBU: Penduduk di Kampung Bruit berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana telah membantu memperbaiki jalan di kampung terbabit.

Kerja-kerja melibatkan jalan simpang tiga menuju ke masjid baharu itu dilaksanakan dengan peruntukan Majlis Daerah Matu Daro (MDMD).

Setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Semop Kaunselor Ismaily Johari berkata kerja-kerja memperbaiki jalan rosak itu bermula beberapa minggu lalu.

“Terima kasih kepada kerajaan, terutama wakil rakyat di kawasan ini yang amat prihatin dengan masalah penduduk.

“Kami juga merakamkan penghargaan kepada MDMD yang bertindak segera memperbaiki jalan simen itu untuk keselesaan penduduk kampung,” ujarnya.

Ismaily memberitahu, kerja-kerja membaiki jalan itu bukan sahaja menyediakan akses lebih baik untuk kegunaan penduduk malah membolehkan mereka menggunakannya dengan selamat.

Selain itu, jalan simen menuju ke Kampung Sesco dan jalan dari Kampung Tengah Bruit menuju ke tanah perkuburan di situ juga telah dibaiki.

“Tumpuan kini lebih terarah kepada kerja-kerja membaiki jalan dan pihak berkuasa menjalankan kerja-kerja jalan yang rosak sebelum keadaan lebih teruk,” katanya.

Difahamkan, kerja-kerja membaiki jalan itu dilakukan secara gotong-royong oleh penduduk kampung.

Advertisement