Anda di sini

Ops Titik bendung penyelewengan diesel

Advertisement

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan melancarkan Ops Titik secara besar-besaran pada Khamis ini bagi membendung kegiatan penyelewengan diesel di seluruh negara.

Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata tindakan penguatkuasaan bersepadu secara besar-besaran itu berdasarkan hasil risikan dalaman dan maklumat daripada agensi penguatkuasaan lain.

“Beberapa individu, syarikat, sektor dan lokasi ‘hot spot’ (panas) dikenal pasti untuk disenarai pendek seperti stesen minyak, pemborong dan gudang simpanan yang menjadi transit untuk sindiket beroperasi,” katanya dalam sidang media di sini, semalam. Turut hadir Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin.

Katanya KPDNKK akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti polis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Pihak Berkuasa Tempatan bagi memastikan aktiviti itu dapat dihapuskan hingga ke akar umbi.

Katanya kementeriannya memandang serius kegiatan penyelewengan diesel dan menubuhkan jawatankuasa membanteras penyelewengan minyak petrol dan diesel bersubsidi yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad baru-baru ini.

Hasan berkata pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk menyeleweng diesel bersubsidi bagi mengaut keuntungan dengan jalan mudah.

“Penyelewengan ini didapati berlaku di semua peringkat, meliputi stesen minyak, gudang pemborong, pelabuhan serta di kawasan sempadan darat dan laut.

“Aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi dikesan didalangi secara sindiket dan terancang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab…bagi mengaut keuntungan jutaan ringgit.

“Impak yang ketara hasil daripada aktiviti ini ialah berlakunya tambahan kuota diesel setiap bulan di samping banyak stesen minyak kehabisan bekalan,” katanya.

Hasan berkata penguatkuasaan bersepadu dijalankan secara berterusan iaitu pada akhir 2013 sehingga minggu lepas, bersama-sama pasukan petugas khas Jabatan Peguam Negara menjalankan operasi khas di kawasan utara meliputi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

“Operasi bersepadu kedua dilaksanakan di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, manakala operasi ketiga pada pertengahan April lepas. Di Pahang KPDNKK merampas kapal berserta muatan diesel 1.34 juta liter.

“Secara keseluruhan, operasi bersepadu bersama Jabatan Peguam Negara membabitkan 39 kes dengan rampasan diesel 2.22 juta liter serta wang tunai RM949,929, di samping pembekuan akaun bank anggota sindiket dianggarkan RM53 juta,” kata Hasan.

Katanya tahun lepas, terdapat 851 kes berkaitan penyelewengan diesel dengan nilai rampasan RM25.21 juta manakala bagi 2014 sehingga April, 146 kes direkodkan dengan rampasan bernilai RM4.62 juta.

Sementara itu, katanya Akta Kawalan Bekalan 1961 sedang dipinda bagi menyesuaikannya dengan keadaan pasaran semasa kerana peruntukan sedia ada terhad kepada kesalahan tertentu sahaja.

Di samping itu, peruntukan penalti yang lebih berat akan dilaksanakan kelak, katanya. — Bernama

Advertisement