Anda di sini

Kemajuan lebih pantas dinikmati jika perpaduan dikekalkan, kata Rayong

Advertisement

ENGKILILI: Kemajuan akan lebih pantas dinikmati penduduk berbilang kaum di kawasan Engkilili sekiranya perpaduan sedia ada dikekalkan oleh mereka dari semasa ke semasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata, aspek perpaduan ini secara tidak langsung akan mewujudkan sikap saling hormat-menghormati budaya kaum yang terdapat di sesebuah kawasan termasuk Engkilili.

“Budaya saling kunjung-mengunjungi di kalangan penduduk berbilang kaum dapat melahirkan suasana hormoni di kalangan rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Merarau Mantar Gawai anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Engkilili No 1 2014 di Dewan Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) di pekan Engkilili, semalam.

Pada majlis itu Dr Rayong menyampaikan cek projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM5,000 kepada PIBG SK Engkilili No 1.

Menurut Dr Rayong, semua aspek ini akan menjadi platform utama kerajaan bagi merancang dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk memajukan penduduk.

Antara projek pembangunan tersebut ialah penyediaan infrastruktur, kemudahan asas yang mencakupi bekalan elektrik dan air, pendidikan serta perhubungan, ujarnya.

Turut hadir Setiausaha MDLA Ignatius Ayai, Guru Besar SK Engkilili No 1 Gurong Beti dan Yang Dipertua PIBG SK Engkilili Melo Agan.

Advertisement