Anda di sini

Ingkar janji cetus kemelut politik di Terengganu

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sikap tidak budiman Datuk Seri Ahmad Said dalam soal kesinambungan kepimpinan Terengganu dilihat menjadi pemangkin kepada kemelut politik yang melanda negeri Pantai Timur itu.

Pemerhati politik berpendapat Ahmad tidak mengotakan janjinya untuk melepaskan jawatan menteri besar secara tertib dan teratur, dengan tindakan yang menjurus kepada landskap politik negeri itu diselubungi banyak tanda soal setelah meletakkan jawatan kelmarin.

Beberapa jam selepas berundur daripada tampuk pemerintahan negeri, Ahmad, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, mengisytiharkan keluar UMNO dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Turut mengambil tindakan sama ialah ADUN Ajil Ghazali Taib dan ADUN Bukit Besi Roslee Daud.

Pemerhati itu menarik perhatian bahawa Ahmad sememangnya sedar beliau menjadi menteri besar untuk tempoh hanya setahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), bertujuan memberi peluang kepada pemimpin lain mengambil alih untuk memperkukuh kedudukan BN di negeri itu.

Untuk rekod, BN memerintah Terengganu dengan kelebihan hanya dua kerusi berbanding pembangkang di DUN yang mempunyai 32 kerusi, ketika Ahmad mengepalai kepimpinan negeri selepas PRU13.

Ketika itu, komposisi DUN menyaksikan BN menduduki 17 kerusi, PAS 14 dan PKR, satu. Ini menjurus kepada apa yang dipanggil “a gentleman’s agreement” untuk Ahmad berundur setahun selepas menjadi menteri besar.

Menurut pemerhati itu, ini sememangnya merupakan satu “rahsia terbuka” apabila Ahmad menjadi menteri besar bagi penggal kedua setelah memegang jawatan itu sejak Mac 2008.

“Pertukaran menteri besar bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sudah ada persefahaman antara Ahmad Said dan pemimpin di peringkat pusat berhubung soal peralihan kuasa,” jelas pemerhati politik itu.

Beliau turut menegaskan bahawa soal pelantikan menteri besar terletak di bawah budi bicara perdana menteri.

Peletakan jawatan Ahmad sebagai menteri besar dan pelantikan ADUN Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman kelmarin telah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Perkembangan politik itu menyaksikan komposisi terkini DUN Terengganu terdiri daripada 14 kerusi untuk BN, pembangkang 15 (PAS 14, PKR, satu) dan Bebas tiga.

Situasi itu dilihat memberi pengajaran kepada BN tentang keperluan memilih pemimpin yang benar-benar setia dan mengutamakan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.

Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan menegaskan kesetiaan dan ketaatan kepada parti adalah penting dalam menentukan jatuh bangun sesebuah parti politik di setiap peringkat termasuk negeri.

“UMNO memerlukan pimpinan di semua peringkat berpegang kepada prinsip ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ sebagaimana yang diungkap dalam slogan parti UMNO,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

“Pemimpin datang dan pergi, namun perjuangan untuk bangsa, agama dan tanah air kekal selamanya,” kata Ahmad Maslan.

Menurutnya, menteri besar yang baharu wajar diberi peluang melaksanakan tanggungjawabnya, termasuk mencari formula penyelesaian kepada kemelut itu.

“Pembubaran DUN adalah pilihan terakhir jika perundingan tidak mencapai kejayaan,” katanya.

Menutur perkara sama, Pengarah Pusat Pembangunan Sosioekonomi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Ibrahim Mamat berkata situasi politik di Terengganu terjadi akibat rasa tidak puas hati dan lebih bersifat peribadi.

“Pemilihan pemimpin itu penting, kita tak mahu pemimpin yang tinggalkan parti bila permintaan mereka tak dituruti,” tegasnya.

Bagi pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib, tindakan Ahmad Said meletakkan jawatan serta keluar parti boleh dilihat sebagai mengkhianati dan memalukan BN di negeri yang kaya dengan hasil minyak dan gas itu.

“Ini satu tindakan yang memalukan terutama ia berlaku hanya sehari selepas sambutan ulang tahun UMNO ke-68,” katanya.

Menurutnya, Ahmad Said wajar mencontohi bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh yang tetap setia berkhidmat kepada parti walaupun tidak dilantik meneruskan khidmatnya satu masa dulu.

Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr Zainal Kling berpandangan sikap tidak matang sesetengah wakil rakyat menyebabkan mereka sanggup “berpatah arang berkerat rotan” atau “kalah jadi abu, menang jadi arang”, asalkan kekal berkuasa. — Bernama

Advertisement