Anda di sini

Dayak diminta kekalkan identiti supaya tidak lenyap ditelan zaman

Advertisement

KUCHING: Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan mahu komuniti Dayak berusaha mengekalkan identiti mereka supaya ia tidak lenyap ditelan zaman.

Beliau berkata setiap ko-muniti mempunyai identiti mereka sendiri dan jika ia gagal dipertahankan ia akan lenyap begitu sahaja.

“Bagi kita kaum Dayak, juga mempunyai identiti sendiri seperti ‘tuak’ serta makanan tradisi lain yang disediakan sendiri dan jika semua ini tidak dapat disediakan lagi, maka tidak ada maknanya menggelar diri kita Dayak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pra-Gawai anjuran Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) dan Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Samarahan di Taman Merdang Satu, Samarahan semalam.

Mawan yang juga presiden SDNU berkata dalam konteks tersebut maka penting ibu bapa memainkan peranan mereka dan mewariskan budaya dan tradisi identiti komuniti itu kepada generasi muda.

Beliau turut mengumumkan pemberian geran kerajaan berjumlah RM20,000 kepada SDNU dan SIDS Samarahan, selain RM3,000 bantuan wang tunai daripada ibu pejabat SDNU dan sumbangan peri-badinya RM1,000.

Katanya dana serta sumba-ngan itu akan membolehkan SDNU dan SIDS menjalankan aktiviti-aktiviti mereka serta membantu ahli yang me-merlukan.

Pada majlis sama, persatuan itu turut menyampaikan insentif kepada anak-anak ahli yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam tahun lepas.

Bantuan turut diberikan kepada ahli yang ketika ini sedang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

SDNU Samarahan didaftar pada 13 Januari 2013 dan sehingga kini ia mempunyai 265 ahli manakala SIDS Samarahan didaftar pada 17 Februari 2013, dianggotai 120 orang.

Hadir sama Naib Presiden SDNU Anthony Banyan, Pengerusi SDNU Samarahan Stanley Belayong Pok, Pengerusi SIDS  Emas Gijak, Pengerusi Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) Dr Dusit Jaul, Ketua Kaum Kampung Entingan David Jiku Nader dan Ketua Kaum Kampung Sungai Empit Bas Kaus.

Advertisement