Anda di sini

Pesara diseru ceburi pertanian, perladangan: Jabu

Advertisement

Oleh Henrietta Liza //

Antara bidang berpotensi ialah pengawetan buah-buahan, penanaman sayur, perladangan buah-buahan

KUCHING: Kerajaan menyeru pesara kakitangan awam agar menceburi bidang pertanian dan perladangan sebagai sumber pendapatan tambahan selepas persaraan mereka.

Menteri Pemodenan Pertanian Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata antara bidang yang mempunyai potensi besar ialah pengawetan buah-buahan, penanaman sayur-sayuran dan perladangan buah-buahan.

Beliau turut menegur warga pesara yang menyertai ‘The Cap Langkau Club’ (Kelab Cap Langkau) dengan menyifatkan ia sebagai aktiviti yang memudaratkan mereka.

“The Cap Langkau bukan sesuatu yang sihat untuk dimasukkan ke dalam sistem imunisasi badan anda, lakukan aktiviti yang sihat, laksanakan sembahyang mengikut kepercayaan agama masing-masing dan menjadi sukarelawan dalam kelab-kelab sosial, itu lebih bermanfaat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra-Gawai dan Makan Malam Persatuan Veteran Jabatan Pertanian Sarawak (SAVA).

Jabu yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata Telang Usan merupakan lokasi yang baik bagi pembiakan ikan empurau selain menjadi tumpuan para pengkaji.

Katanya beliau menyokong usaha SAVA dalam pengumpulan data dan maklumat berkaitan pertanian di Sarawak sejak 90 tahun lepas untuk dibukukan tidak lama lagi.

Justeru, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 bagi melaksanakan pengumpulan data dan dibukukan dengan tambahan RM30,000 pada tahun depan.

Maklumat di dalam buku tersebut yang belum diberi judul akan diambil dari setiap bahagian negeri ini yang dikendalikan oleh jawatankuasa SAVA diketuai Presidennya Johnny Chien Pik Ung dan Timbalannya Piara Singh Gill.

Beliau berkata ia lebih mudah jika dijalankan menggunakan sistem komunikasi dan digital bagi mengumpulkan semua data dan maklumat yang dijangka akan dibukukan menjelang penghujung tahun depan.

Pada masa yang sama, beliau turut menyeru setiap agensi yang berkaitan tampil menyalurkan maklumat kepada SAVA agar projek pembukuan itu dapat dipercepatkan.

Pada majlis itu pesara Jabatan Pertanian turut berkongsi pengalaman bekerja di setiap lokasi di negeri ini, termasuk Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Warga pesara diraikan dengan cabutan bertuah, sesi berkaraoke dan bergambar selain beramah mesra antara satu sama lain.

Advertisement