Anda di sini

Permohonan PFP untuk bertanding ditolak, gagal serah deposit dalam masa ditetapkan

Advertisement

GEORGE TOWN: Lim Chee Khoon, wakil Penang Front Party (PFP), sebuah gabu-ngan 44 Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Pulau Pinang, kesal dan kecewa kerana hasratnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor tidak kesampaian selepas gagal menyerahkan wang deposit dalam tempoh ditetapkan.

Lim, 52, anak jati Bukit Gelugor, berkata beliau tiba di pusat penamaan calon di Dewan Sri Pinang pada jam 9.45 pagi bagaimanapun berlaku salah faham berkaitan wang deposit yang perlu dibayar sebelum jam 10 pagi.

“Selepas perbincangan antara wakil jawatankuasa penaja PFP dan parti bersetuju meletakkan saya sebagai calon, kami telah buat persiapan dan tiba di pusat penamaan calon pada jam 9.45 pagi.

“Bagaimanapun selepas jam 10 pagi pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mahu menerima permohonan saya berikutan wang dibawa tidak mencukupi dan dalam masa yang sama wakil PFP sedang dalam perjalanan ke dewan untuk membayar deposit berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Katanya, wakilnya yang ditugaskan membawa wang itu tiba di Dewan Sri Pinang pada jam 10.15 pagi namun pihak SPR enggan menerima deposit tersebut.

“Kami tidak tahu wang itu perlu diserahkan sebelum jam 10 pagi dan menurut SPR ia adalah peraturan baharu kerana sebelum ini deposit itu boleh dibayar sehingga jam 12 tengah hari,” katanya.

Lim yang juga Anggota Jawatankuasa penaja PFP berkata pihaknya tidak akan berputus asa dan akan bertanding jika ada pilihan raya kecil di Pulau Pinang pada masa akan datang.

PFP, gabungan 44 NGO kaum Cina di Pulau Pinang, akan menubuhkan sebuah parti politik baharu bagi membela rakyat di negeri ini.

Katanya objektif PFP ada-lah untuk memperjuang masa depan rakyat Pulau Pinang bagi memastikan kekayaan negeri dan pembangunan diagih sama rata agar dapat memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

Sementara itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihak-nya terpaksa menolak permohonan wakil PFP kerana tidak mematuhi syarat yang ditetapkan SPR.

“Daripada lima kertas pencalonan hari ini (semalam), kami terpaksa menolak wakil seorang calon selepas tidak memenuhi syarat berikutan tidak membawa wang yang mencukupi.

“Dalam syarat pilihan raya setiap wakil perlu menyerahkan deposit sebanyak RM10,000 untuk SPR dan RM5,000 untuk Pihak Berkuasa Tempatan sebelum jam 10 pagi, calon berkenaan gagal berbuat demikian jadi kita terpaksa tolak permohonannya,” jelasnya. — Bernama

Advertisement