Oleh Andy Sabang //

SEDIA GEGAR: (Dari kiri) Jiau, Musa dan Alfie menayangkan gaya masing-masing selepas sesi latihan di Sibu.
Bekas Mr Sibu itu kembali sertai kejohanan bina badan
SIBU: Bekas Mr Sibu, Musa Hanapi kembali semula menyertai dunia sukan bina badan.
Kepulangan semula beliau kali ini adalah dengan tekad untuk memenangi kembali gelaran Mr Sibu pada kejohanan bina badan di bangunan di Kompleks Beli-belah Sing Kwong, di sini Sabtu ini.
Musa dinafikan penyertaannya pada kejohanan Mr Sarawak tahun lalu berkata, beliau cuba melakukan yang terbaik untuk memenangi semula gelaran Mr Sibu Sabtu ini.
Beliau memenangi gelaran Mr Sibu pada 2012, tetapi hanya menduduki tempat keempat tahun lalu yang diadakan di pusat beli-belah Star Megamall.
“Saingan kali ini benar-benar menarik selepas setahun menyepi. Saya cuba yang terbaik untuk menang,” katanya sambil menambah beliau akan mengambil bahagian dalam kategori 70kg ke atas.
Musa menjalani latihan di Solid Gym tidak mempunyai banyak masa untuk melakukan latihan kerana komitmen kerja.
Bagaimanapun, terdapat beberapa perubahan dalam latihan bagi membolehkannya bersedia menyertai pertandingan.
“Saya tidak boleh bergantung kepada latihan yang sama setiap tahun. Mesti ada perubahan jika saya mahu memperbaiki diri,” katanya.
Peserta menduduki tempat kelima tahun lalu, Alfie Khan Abdul Aziz Khan, 24, juga bersaing dalam kategori baharu.
Beliau juga berjanji melakukan yang terbaik pada kali ini.
“Saya berharap boleh melakukan lebih baik tahun ini terutama dari segi latihan,” katanya bersemangat.
Alfie merupakan seorang guru di sebuah sekolah luar bandar di Kanowit berkata, beliau berterima kasih kepada Solid Gym kerana sudi menaja beliau di gimnasium berkenaan.
“Saya telah diberi kepercayaan oleh Solid Gym, jadi saya akan melakukan yang terbaik untuk menjadi antara peserta terbaik,” katanya.
Menurutnya, beliau berulang- alik ke Sibu untuk berlatih di gim setiap hujung minggu.
Sementara itu, Edric Jiau, 24, berharap dapat berada dalam kedudukan tiga peserta terbaik tahun ini.
Jiau mempunayi komitmen dengan pekerjaan mengakui dirinya tidak mempunyai banyak masa melakukan latihan sebagai persediaan pada kejohanan itu.
Bagaimanapun, Jiau menyertai pertandingan tersebut sejak 2009 melahirkan keyakinan tinggi melakukan lebih baik pada tahun ini.