Anda di sini

Memacu sosioekonomi di Pulau Bruit

Advertisement

Oleh Watt Zacchaeus //

Menjemur ikan masin

PARA nelayan yang tinggal di pesisiran pantai utara pulau ini telah mendapat rezeki yang berlipat ganda pada musim kering ini.

Bagaimanapun, mereka tetap bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) atas bantuan membekalkan peralatan menangkap ikan yang diagihkan kepada mereka sebelum ini.

Kaunselor di Kampung Bruit Ismaily Johari berkata, hasil bantuan peralatan itu, para nelayan dan penduduk di sini terus meraih pelbagai jenis hasil sumber laut yang banyak sejak tiga bulan lalu.

Menurutnya, rezeki hasil laut yang datang mencurah-curah itu menjana pendapatan lebih kepada para nelayan di sini, sekali gus meningkatkan ekonomi penduduk.

Memproses obor-obor merah

“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan BN terutama kepada wakil rakyat di kawasan ini yang sentiasa memberi bantuan seperti peralatan menangkap ikan, enjin sangkut dan bot untuk kegunaan para nelayan di sini meraih hasil dari laut.

“Hasil bantuan itu, nelayan di sini terus memperolehi tangkapan yang banyak setiap tahun terutama ketika musim ‘payak’ (udang merah), ikan lumek, obor-obor merah dan sebagainya yang sedikit sebanyak telah meningkatkan sosioekonomi penduduk di pulau ini,” katanya di Pulau Bruit, baru-baru ini.

Menurut Ismaily, hasil sumber yang diperolehi oleh nelayan dari laut juga turut memberi peluang pekerjaan kepada golongan muda di pulau ini.

Mengasingkan payak

HASIL LUMAYAN

“Apabila musim payak, ikan lumek, obor-obor merah tiba di perairan pantai utara pulau ini, kebanyakan belia-belia di sini tidak melepas peluang mengikut para nelayan turun ke laut.

“Selain itu, mereka turut membantu para nelayan melakukan kerja-kerja pemprosesan seperti menarik pukat (membuang ikan lumek) dari pukat, memotong kepala ikan, mengopek kulit udang, membuang lendir obor-obor merah dan sebagainya,” jelasnya.

Dalam pada itu Masran Latif, 41, berkata, nelayan di pulau ini turut menghasilkan beberapa produk daripada hasil laut untuk dipasarkan ke pasaran tempatan.

KERJA RUMIT: Udang halus atau bubuk dijemur untuk dijadikan produk ‘Belacan Pulau Bruit’.

“Antara produk utama yang dihasilkan oleh para nelayan di sini seperti udang kering atau sesar unjur, sesar pukul, ikan lumek salai, obor-obor merah masin, belacan, ikan masin, cencaluk dan sebagainya.

“Semua produk-produk ini akan dipasarkan ke bandar Sibu, Sarikei, Miri, Bintulu dan Kuching termasuk daerah Matu Daro, Mukah serta Tanjung Manis,” katanya yang berasal dari Kampung Penibong.

Tujuh perkampungan nelayan di Utara Pulau Bruit yang menerima bantuan peralatan menangkap ikan daripada kerajaan tahun lalu antaranya Kampung Betanak, Bruit, Tekajong, Penipah, Salah Kechil, Penibong dan Penuai.

Advertisement