Anda di sini

Lebih 150 pemain ragbi belia tunjuk bakat

Advertisement

MIRI: Lebih 150 pemain ragbi belia menonjolkan kemahiran masing-masing menerusi perlawanan antara sekolahsekolah di sini semalam.

Pertandingan antara sekolah berkenaan disertai 10 buah sekolah mengambil bahagian dianjurkan oleh Miri Division Rugby Union (MDRU) untuk julung kalinya.

Perlawanan persahabatan terbabit merupakan antara aktiviti utama bagi Karnival Ragbi Rhinos (Rhinos Rugby Carnival) di Stadium Miri.

Menurut jurucakap penganjur, Sylvia Alexander Lian karnival terbabit adalah sempena sambutan Miri May Fest.

“Acara ini berjaya dianjurkan dengan sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada pemain ragbi terdiri kalangan bakat muda, tetapi turut mendapat sambutan pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Jelas beliau, penganjuran pertandingan tersebut turut bertujuan bagi mempromosikan sukan ragbi kalangan masyarakat serta mengetengahkan bakat terpendam pemain- pemain muda berpotensi diasah ke peringkat tinggi.

“Ramai yang beranggapan bahawa sukan ragbi adalah sukan yang lasak dan boleh mencederakan serta boleh menyebabkan tulang patah.

“Oleh itu, melalui karnival ini kita boleh berkongsi pengalaman dan mendidik orang awam agar lebih memahami konsep sebenar pemainan ragbi yang memerlukan semangat berpasukan dan disiplin tinggi,” katanya.

Selain pertandingan ragbi antara sekolah-sekolah, antara lain aktiviti yang turut diselitkan ialah klinik ragbi, pameran dan sudut ragbi untuk kanak-kanak.

Katanya, melalui petandingan yang dianjurkan, pihak penganjur dapat melihat potensi yang ada pada setiap peserta dan mengasah bakat mereka menjadi pemain profesional yang bukan sahaja bakal mewakili negeri tetapi membolehkan mereka mewakili peringkat kebangsaan.

Antara sekolah mengambil bahagian ialah SMK Pujut, SMK Dato Permaisuri Miri, SM Sains Miri, Kolej Vokasional (VK) Labuan, KV Bintulu, KV Miri, SMK Luar Bandar dan SMK Lutong.

Advertisement