Anda di sini

Laporan mesyuarat tiga pihak berhubung MH370 dibentangkan kepada Kabinet esok

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan sedang menyediakan kertas kabinet berhubung hasil mesyuarat tiga pihak antara Malaysia, Australia dan China berhubung pesawat MH370 di Australia pada 5 Mei lepas, untuk dibentangkan kepada Kabinet Rabu ini.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata penyediaan kertas kabinet itu dilakukan bersama-sama dengan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar Katanya kertas kabinet itu, antara lain akan memuatkan cadangan dalam mesyuarat tiga pihak itu berhubung fasa baharu operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac.

Fasa baharu pencarian termasuk analisis dan memperhalusi semula data satelit Inmarsat dan pemetaan dasar laut di selatan Lautan Hindi, tempat pesawat itu dipercayai berakhir, katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Panglima Tentera Laut Diraja Australia Laksamana Madya Ray Griggs di Wisma Pertahanan di sini semalam.

“Laporan itu juga, antara lain, termasuk soal pengerahan aset-aset, yang mempunyai keupayaan spesifik bagi misi mencari,” katanya.

Mesyuarat Peringkat Menteri Tiga Pihak diadakan di Bangunan Parlimen Australia di Canberra pada 5 Mei antara Hishammuddin, Timbalan Perdana Menteri Australia Warren Truss dan Menteri Pengangkutan China Yang Chuangtang, antara lain membincangkan fasa baharu bagi operasi mencari MH370.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal yang dalam perjalanan ke Beijing, China telah hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada jam 12.41 tengah malam.

Pada 24 Mac, 17 hari selepas pesawat Boeing 777-200ER itu hilang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”.

Hishammuddin menyifatkan mesyuarat di Australia sebagai komprehensif, lengkap dan paling konstruktif serta mencerminkan tahap kerjasama, usaha sama dan kepercayaan yang amat tinggi antara ketiga-tiga negara.

“Apa yang penting adalah mesyuarat di Australia (Canberra) (dengan timbalan perdana menteri Australia dan menteri pengangkutan China) boleh dikatakan bersejarah kerana ia telah berjaya mengetepikan banyak teori konspirasi dari segi hujahan geopolitik,” katanya.

“Perkara yang kami teliti ketika ini adalah pencarian di laut dalam, tentang aset miliki keupayaan spesifik dan perkongsian kos (pencarian) kerana pada masa lepas tiada perbincangan tentang dollar dan sen…untuk adil kepada rakan kongsi kami, sudah tiba masanya untuk kami membincangkannya (perkongsian kos) secara lebih serius, kerana ia (pencarian) mungkin mengambil masa lama,” katanya. — Bernmaa

Advertisement