Anda di sini

Ibu bapa perlu berusaha memastikan kecemerlangan pendidikan anak-anak

Advertisement

BETONG: Peranan mendidik anak-anak bukan hanya terletak di bahu guru sebaliknya ibu bapa atau penjaga perlu berusaha memastikan kecemerlangan pendidikan anak-anak mereka.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata peranan serta tanggungjawab haruslah digemblengkan bersama kedua-dua pihak.

“Kita sekarang melangkah ke sebuah negara maju menjelang 2020.

“Justeru, dalam keadaan ini kita amat memerlukan modal insan yang cemerlang dan berpendidikan,” katanya pada Majlis Permuafakatan Ibu Bapa, Kakitangan dan Guru, Sekolah Kebangsaan (SK) Penom, di sini kelmarin.

Uggah yang juga Ahli Parlimen Betong menjelaskan bahawa peranan ibu bapa dan guru amat penting dalam memastikan kecemerlangan anak-anak kerana kegagalan membentuk sahsiah akan mempengaruhi masa depan mereka.

“Kerajaan melaksanakan pelbagai program pendidikan bagi melahirkan pelajar cemerlang seperti pusat sumber, pembekalan kemudahan elektronik, internet di sekolah dan sebagainya,” kata beliau.

Justeru, Uggah berharap agar kemudahan-kemudahan seperti itu perlu diambil peluang dengan sebaik-baiknya.

Tambahnya, guru diharap dapat menyampaikan maklumat kepada pelajar agar mereka dapat menggunakan segala sumber itu secara berfaedah.

Program permuafakatan itu bertujuan meningkatkan peratus kelulusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada 100 peratus, melahirkan pelajar cemerlang 5A dalam UPSR 2014 di samping meningkatkan prestasi murid melalui permuafakatan ibu bapa dan guru.

Uggah memuji langkah pihak sekolah itu kerana mengadakan program permuafakatan yang amat berfaedah dengan pengisian ceramah motivasi disampaikan Dr Lambet Lindong, School Improvement Partner dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Daerah Betong.

“Inilah langkah terbaik dan tepat pada masanya bukan sahaja demi kepentingan pelajar sekolah sebaliknya ibu bapa harus sedar manfaat program tersebut,” katanya.

Uggah menambah, beliau serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban Robert Lawson Chuat sentiasa menyokong apa sahaja program bermanfaat untuk sekolah.

Di samping itu, beliau berharap program seperti itu harus diperkasakan dari semasa ke semasa agar sekolah itu akan mencapai prestasi lebih baik.

Terdahulu, Uggah menyumbang RM5,000 untuk pembelian buku serta kelengkapan pusat sumber, sepuluh kipas angin untuk dewan sekolah serta satu set projektor LCD.

Advertisement