Anda di sini

Beberapa langkah penjagaan mata perlu diberi perhatian

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

CERAMAH: Dr Lim menyampaikan ceramah berkenaan kesihatan mata di Bintulu baru-baru ini.

BEBERAPA langkah penjagaan mata perlu diberi perhatian dan tidak harus dipandang ringan memandangkan mata merupakan organ penglihatan penting bagi setiap manusia.

Pakar Mata Bintulu Medical Centre (BMC), Dr Lim Chern Pin berkata antara keadaan yang perlu diberi perhatian dalam penjagaan kesihatan mata ialah menggunakan kanta sesentuh pastikan sentiasa bersih.

Selain itu, katanya, elak mencuci mata atau mencuci kanta sesentuh dengan menggunakan air paip memandangkan air paip kemungkinan ada bakteria yang boleh merosakkan mata.

“Sekiranya mata gatal, elak daripada mengosok-gosoknya dan bersihkan tangan setiap masa sekiranya ingin menyentuh mata,” katanya pada ceramah kesihatan mata anjuran BMC dan Persatuan Peniaga Petroleum Shell Bintulu baru-baru ini.

Dr Lim turut menasihati agar tidak menggunakan penitis mata steroid sekiranya mengalami mata merah atau kegatalan tanpa dipantau oleh doktor mata.

“Menggunakan penitis mata steroid dengan kerap boleh menyebabkan kebutaan pada mata. Sebolehnya guna penitis mata yang dibenarkan atau mengunjungi klinik pakar mata untuk mendapatkan ubat penitis mata yang disyorkan oleh doktor mata,” tambahnya.

Begitupun, dalam keadaan kecemasan sekiranya mata terkena bahan kimia contohnya air bateri dan sebagainya bersihkan tangan dengan segera dan seterusnya gunakan air paip untuk membersihnya atau sebaiknya menggunakan air mineral dalam botol dan seterusnya berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan dengan segera.

Beliau berkata kesan daripada penyakit darah tinggi dan kencing manis juga boleh mempengaruhi penglihatan mata.

Penyakit katarak, glaukoma dan rabun mata antara yang turut dikupas khususnya penyebab kepada penyakit tersebut termasuk pemakanan yang boleh menyihatkan mata dan keadaan-keadaan yang boleh merosakkan mata.

Sementara itu, Pengurus Shell Medan Jaya merangkap pengerusi penganjur program, Ruhana Kassim berkata ceramah itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkenaan penyakit mata yang biasa dihidapi di samping memahami kesihatan mata dan isu penglihatan.

“Ramai di antara kita menggunakan organ penglihatan itu secara berlebihan atau menyalahguna tanpa menyedari akan  kesan buruknya,” katanya.

Justeru, inilah sebab mengapa ceramah berkaitan diadakan dengan harapan memberi manfaat dan pengetahuan tentang kesihatan mata.

“Pengurusan yang efektif berkenaan kesihatan mata penting kerana ia membantu dalam menyumbang kepada keadaan yang selamat, sihat dan produktif di tempat kerja,” tambahnya.

Seramai 50 orang hadir dalam ceramah yang berlangsung dari jam 10 pagi di pusat perubatan itu.

CENDERAMATA: Dr Lim menerima cenderamata daripada Ruhana selepas menyampaikan ceramah berkenaan kesihatan mata di Bintulu baru-baru ini.