Anda di sini

Atlet taekwondo Sarawak cipta kejayaan cemerlang

Advertisement

KUCHING: ITF Sarawak sekali lagi mencatat kejayaan cemerlang pada Kejohanan Jemputan Taekwondo Sekolah Malaysia 2014 di Dewan SMK Dato Haji Hussein, Selama, Perak pada 26 April lalu.

Mereka merangkul pingat terbanyak dari tujuh pasukan yang terlibat dengan sembilan emas, empat perak dan tiga gangsa.

Pada kejohanan tersebut, Sarawak diketuai Pengurus Pasukan Jeffrey Wee, Ketua Delegasi Sim Heng Tak, Pembantu Pengurus Pasukan, Regina Ho dan Ketua Jurulatih, Amily Bong.

Manakala 11 atlet yang bertanding dipilih dari SMK Green Road, SMK Sungai Maong, SMK Pending dan SMK Wira Penrissen.

Kejohanan anjuran bersama ITF Perak dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu disertai seramai 672 pelajar mewakili pelbagai sekolah menengah dari seluruh negara.

Penganjurnya, Zainal Abidin yang juga Pengerusi Pengetua Selama berkata penyertaan tahun ini meningkat kerana setaraf dengan kejohanan kebangsaandianjurkan oleh Kementerian Pendidikan.

Katanya, tahun ini kementerian menganugerahkan sijil sebagai mata tambahan kepada pemenang yang meraih pingat dalam mana-mana kategori.

“Ini akan membantu pelajar mengutip markah bonus yang sangat diperlukan terutama untuk memohon biasiswa dan kemasukan ke institut pengajian tinggi (IPT),” katanya.

Atlet Sarawak jelas menunjukkan penguasaan dalam kedua-dua acara ‘pattern’ dan ‘sparring’ meskipun hanya menjalani latihan intensif selama sebulan.

Dalam kategori ‘pattern’, pingat emas dirangkul oleh Chai Ching Ching (SMK Sungai Maong), Meilina Yee (SMK Pending), Marcus Chai (SMK Green Road), Laura Chai (SMK Green Road), Franklyn Vun (SMK Green Road), Benj amin Chen (SMK Green Road), Sheryl Pollen Sing (SMK Green Road) dan Mohammad Abdullah Firdaus (SMK Wira Penrissen).

Perak pula disumbang Natalie Choong (SMK Sungai Maong) dan Chai Zhi Ren (SMK Green Road).

Kategori ‘sparring’ pula menyaksikan emas disandang Sheryl Pollen Sing (SMK Green Road) sementara perak diraih Laura Chai dan Marcus Chai dari SMK Green Road.

Gangsa pula disumbang Chai Zhi Ren dari SMK Green Road, Chai Ching Ching dan Natalie Choong dari SMK Sungai Maong.

Advertisement