MIRI: Atlet Sarawak dicabar memperbaiki rekod Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang dengan mensasarkan sekurangkurangnya 50 pingat emas atau berada di tangga ketiga teratas pada temasya SUKMA di Perlis nanti.
Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin berkata kerajaan negeri menawarkan insentif lumayan buat atlet-atlet meraih sekurang-kurangnya satu emas di Perlis.
“Kita mensasarkan 50 hingga 55 pingat emas pada SUKMA di Perlis nanti dan beberapa acara dijangka mampu menghadiahkan Sarawak pingat emas,” katanya di sini semalam.
Beliau yang juga Ketua Kontinjen SUKMA Sarawak memberitahu bagi pingat emas pertama, atlet akan menerima RM5,000 manakala emas kedua mereka menerima ganjaran RM7,000.
“Ini bermaksud jika seorang atlet berjaya meraih dua emas pada SUKMA di Perlis nanti maka ganjaran bakal mereka terima ialah RM12,000,” ujarnya.
Lee memberitahu, meskipun insentif yang ditawarkan agak lumayan namun ia hanya sebagai hadiah sampingan sebagai membalas jasa mereka yang mampu meraih pingat emas.
“Matlamat kita ialah untuk memperbaiki rekod Sarawak pada SUKMA supaya ranking Sarawak berada di tiga teratas dan mampu berdaya saing dengan atlet negeri-negeri lain,” ujarnya.
Beliau juga meletakkan harapan tinggi bahawa setiap atlet yang menyarung jersi Sarawak mampu melaksanakan tugas dan amanah untuk menyumbang pingat pada SUKMA di Perlis nanti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu turut memaklumkan bahawa pihaknya akan mengadakan Kem Kontinjen Sarawak pada 21 Mei ini.
“Semua atlet akan berkumpul di Kuching sebagai persiapan terakhir sebelum mereka berangkat ke Perlis dan kita akan menyerahkan bendera kebanggaan negeri kepada mereka,” ujarnya.
Menurutnya, antara acara yang dijangka mampu menyumbang pingat emas ialah renang, wushu, tennis, memanah, boling, dan beberapa acara lain.
“Kita berharap atlet yang bertanding nanti menunjukkan semangat juang tinggi dan mampu merealisasikan impian untuk memperbaiki rekod SUKMA lalu,” katanya.
Sehubungan itu, Kontinjen SUKMA Sarawak bersedia sepenuhnya untuk menghadapi temasya sukan terbesar negara, SUKMA XVII di Perlis pada 24 Mei hingga 4 Jun depan.
Menteri Pembangunan Sosial, Tan Sri William Mawan Ikom berkata persiapan atlet- atlet dan jurulatih berjalan lancar terutama menjelang 12 hari lagi sebelum SUKMA bermula.
“Kita akan tampil dengan lebih baik berbekalkan semangat dan komitmen tinggi semua atlet.
“Saya percaya akan lahir beberapa atlet baharu pada SUKMA kali ini,” katanya pada sidang media selepas taklimat SUKMA XVII di pejabatnya di Kuching semalam.
Hadir sama Menteri Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin dan Menteri Muda Kemudahan Awam, Datuk Stephen Rundi.
Mawan berkata, kontinjen Sarawak merangkumi 520 atlet dan pegawai manakala Lee bertindak sebagai ketua kontinjen.