Anda di sini

149 menara baharu untuk tingkat liputan telekomunikasi Sarawak

Advertisement

KUCHING: Liputan telekomunikasi di Sarawak dijangka meningkat sehingga 90 peratus tahun depan menerusi pembinaan 149 lagi menara telekomunikasi di negeri ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata tender untuk pembinaan menara terbabit sudah dikeluarkan dan kerja pembinaan akan dimulakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

“Sarawak adalah satu kawasan yang luas dan sukar dengan penduduknya berada di kawasan pedalaman dan sebagainya tetapi (kemudahan) komunikasi (ini) akan membantu menghubungkan mereka,” katanya selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem di Dewan Undangan Negeri, di sini semalam.

Menurutnya isu telekomunikasi merupakan antara perkara yang dibincangkan semasa kunjungan hormat itu.

Ahmad Shabery berkata pembinaan menara baharu itu dijangka menelan kos RM200 juta dan merupakan sebahagian daripada 400 menara telekomunikasi yang dirancang dibina di seluruh negara.

“Ertinya lebih 30 peratus daripada fasa pertama ini keutamaan diberi kepada Sarawak. Kita harapkan semua jalan utama dari Kuching ke Miri seboleh-olehnya diberikan keutamaan supaya tidak ada lagi tempat yang terputus dari segi hubungan (telekomunikasi),” katanya.

Menurut Ahmad Shabery, kementeriannya juga akan bekerjasama dengan syarikat pembekal perkhidmatan televisyen satelit Astro untuk membolehkan penduduk di kawasan pedalaman di Sarawak mendapat maklumat terkini.

Selain pertemuan dengan Adenan, Ahmad Shabery turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di kediamannya di Demak Jaya. — Bernama

Advertisement