Anda di sini

1,452 sekolah nikmati Internet di bawah 1BestariNet menjelang 2016

Advertisement

KUCHING:  Kesemua 1,452 sekolah di Sarawak akan menikmati kemudahan internet di bawah program 1BestariNet menjelang 2016, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Katanya sehingga kini terdapat 726 sekolah (50 peratus) telah dibekalkan dengan capaian internet melalui teknologi VSAT.

“Bagaimanapun, hanya 552 sekolah sahaja dibekalkan dengan makmal komputer. Baki 900 lagi akan dibekalkan dengan makmal komputer secara berperingkat.

“Bagi sekolah di kawasan N.70 Ba’Kelalan, sebanyak 14 sekolah (13 sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah) telah menikmati capaian internet melalui program 1BestariNet, sementara tiga sekolah lain (dua sekolah rendah dan sebuah menengah) masih menggunakan capaian internet biasa.

“Hanya 10 sekolah mempunyai makmal komputer,” katanya memaklumkan kepada Baru Bian (PKR-Ba’Kelalan) semasa menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Mengulas isu dibangkitkan Dr Annuar Rapa’ee (BN-Nangka), Fatimah berkata Jabatan Pendidikan  Negeri (JPNS) mengambil maklum berhubung isu sekolah daif iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bahagia Jaya, SK Nanga Bon dan SK Ulu Sungai Merah dan ia telah disenaraikan bagi permohonan pembaikan dan naik taraf untuk tahun 2014 dan 2015.

“Berhubung permohonan menubuhkan Pusat Matrikulasi Sarawak di Sibu, sukacita dimaklumkan bahawa ia telah ditubuhkan di Kuching dan mula beroperasi menggunakan kampus sementara di SMT Sejingkat, Bako di sini mulai Mei 2013.

“Berkaitan SK Sebako, Lundu kami memaklumkan kepada Ranum Mina (BN-Opar) bahawa JPNS akan menyalurkan peruntukan bagi menyelesaikan masalah kebocoran atap di sekolah berkenaan,” jelasnya.

Untuk makluman Snowdan Lawan (BN-Balai Ringin), jelasnya, kerajaan sentiasa berusaha memastikan sekolah-sekolah di seluruh Sarawak termasuk di kawasan Balai Ringin mendapat peruntukan bagi kerja baik pulih dan naik taraf melalui Pelan Pelaksanaan Inisiatif Infrastruktur Asas dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

“JPNS telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membaik pulih dan menaik taraf sekolah di kawasan Balai Ringin iaitu SK Nyelitak, SK Sebangkoi, SK Muding, SK Tuba, SK Keranggas, SK Mentu, SK Padang Pedalai, SK Gawang, SK Semada, SK Jaong, SK Abok dan SK Kedumpai.

“Bagi permohonan sebuah sekolah menengah di kawasan Sabal, Balai Ringin, KPM masih mengenal pasti tapak yang sesuai yang dapat memenuhi keperluan asas sekolah menengah seperti kecukupan populasi sekolah rendah tadahan, bekalan air dan elektrik awam,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fatimah memberitahu, pada 2014 sebanyak 50 jawatan ‘School Improvement Partners+ (SIPARTNERS+)’ diwujudkan bagi membantu meningkatkan kualiti pentadbiran dan pengurusan sekolah dan setakat ini seramai 37 SIPARTNERS+ telah dilantik.

Selain itu katanya, bagi jawatan ‘School Improvement And School Coaching+ (SISC+) yang berperanan sebagai jurulatih pakar pembangunan sekolah dalam bidang akademik untuk membimbing guru dan murid di sekolah berprestasi rendah, setakat ini 83 daripada 246 jawatan telah diisi.

“Selain itu, untuk mengukuhkan lagi pengasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid di sekolah menengah, kerajaan dengan kerjasama kedutaan Amerika Syarikat telah menempatkan 10 guru ‘Fullbright English Teaching Assistant’ di negeri ini,” ujarnya.

Menutup ucapannya, Fatimah meyokong peringatan yang dizahirkan oleh Yang di-Pertua Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam ucapan perasmiannya pada 5 Mei lalu mengenai keharmonian dan perpaduan dan ketegasan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem untuk tidak membenarkan anasir berunsur ekstrimisme kaum, agama dan politik masuk ke negeri ini.

“Kita ingin melihat Sarawak terus maju dalam suasana yang aman dan makmur.

“Dalam melaksanakan pelbagai program kementerian, kami peka dan sentiasa memberi perhatian kepada kepelbagaian persekitaran sosiobudaya masyarakat majmuk di Sarawak,” katanya.

Advertisement