Anda di sini

Tayar pancit gagalkan cubaan pemandu lari selepas terlibat kemalangan

Advertisement

RAWATAN: Remaja lelaki itu mendapat perhatian perubatan selepas terlibat dalam kemalangan di sebuah bulatan di Jalan Padungan, malam Sabtu.

KUCHING: Cubaan pemandu Perodua Myvi untuk melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan bersama sebuah motosikal di Bulatan Padungan, di sini gagal apabila tayar keretanya pancit tidak jauh dari lokasi kemalangan.

Dalam insiden malam Sabtu itu, penunggang motosikal yang bekerja sambilan di sebuah hotel di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, dikatakan dalam perjalanan pulang ke Kampung Pulo di Petra Jaya.

Bagaimanapun, selepas melalui Jalan Abell, mangsa berlanggar dengan Myvi berkenaan di sebuah bulatan di Jalan Padungan.

Remaja yang berusia 19 tahun itu dipercayai patah paha kanan dan cedera di beberapa anggota badan lain akibat kemalangan tersebut.

Difahamkan, pemandu itu cuba meninggalkan tempat kejadian namun berjaya dihentikan oleh pengguna jalan raya yang lain, tambahan pula tayar kiri kenderaan tersebut pancit.

Pemandu itu yang kemudiannya mengakui kesalahannya menghantar mangsa ke hospital swasta di Petra Jaya bagi mendapatkan rawatan.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki dalam keadaan kritikal selepas terhumban dari motosikal ditunggangnya di Jalan Demak Laut, di sini.

Dalam insiden sekitar jam 6 pagi itu, mangsa yang berusia 55 tahun dikatakan gagal mengawal motosikal yang ditunggang lalu melanggar seorang pejalan kaki.

Pejalan kaki itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Mereka dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk menerima rawatan.

Advertisement