Anda di sini

Putus jari diserang pada majlis hari jadi

Advertisement

KUCHING: Majlis hari jadi menjadi detik hitam yang tidak dapat dilupakan buat sebuah keluarga apabila seorang jiran mengamuk di Kampung Simboh, Jalan Mambong-Sariq, Padawan, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kemeriahan menyambut hari jadi kedua seorang kanak-kanak, kediaman keluarga berkenaan diserbu seorang lelaki yang bertindak menghayunkan senjata tajam, dipercayai parang.

Menurut sumber, datuk kepada kanak-kanak itu cuba menenangkan lelaki yang dalam lingkungan usia 20-an itu namun usahanya sia-sia.

Sebaliknya, lelaki yang merupakan jiran keluarga berkenaan dikatakan bertindak agresif dan menyerangnya sehingga mengakibatkan jari tengah mangsa yang berusia 54 tahun itu terputus.

Motif kejadian dipercayai angkara salah faham dan tidak puas hati.

Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila seorang pelajar universiti naik berang apabila majlis ulang tahun itu belum berakhir meskipun selepas tengah malam.

Menurut sumber, lelaki dalam lingkungan usia 20-an itu pada awalnya bertindak menyuluh rumah keluarga tersebut menggunakan lampu suluh.

Salah seorang daripada ahli keluarga itu kemudian dikatakan pergi ke rumah lelaki tersebut untuk memberi penjelasan majlis itu akan berakhir dalam tempoh setengah jam lagi.

Mereka kemudian menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun ketika polis tiba, lelaki yang mengamuk itu telah melarikan diri.

Mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk menerima rawatan.

Kira-kira jam 3.20 petang semalam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan berjaya menangkap suspek yang berumur 25 tahun itu di kediamannya di kampung sama.

Suspek yang difahamkan pelajar sebuah universiti di Jalan Meranek, Kota Samarahan ditahan untuk membantu siasatan.

Advertisement