Anda di sini

Program perkukuh keyakinan, kemahiran anggota bomba

Advertisement

Oleh Mastura Ismail //

PENGETAHUAN BERSAMA: Anggota JBPM Zon Limbang yang terlibat dalam program tersebut.

ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Limbang menghadiri Program Pengukuhan Kepegawaian Teknikal Tali dan Menyelamat di Taman Tasik Bukit Mas baru-baru ini.

Ketua Bomba Zon Limbang Anuar Shadzat Merdzuki berkata pengurusan asas Teknikal Tali dan Menyelamat perlu diberi perhatian khusus oleh semua anggota bomba bagi menambah keyakinan dan kemahiran di dalam tugas-tugas berkaitan penggunaan tali bagi meminimakan masa, ruang, tenaga dan peralatan sepanjang misi penyelamatan ini dijalankan.

“Kemahiran di dalam asas Teknikal Tali dan Menyelamat ini juga mampu memberikan keyakinan kepada orang awam terhadap profesionalisme anggota JBPM dalam menguruskan sesuatu tugasan,” katanya.

Anuar berkata program ini mampu memberi kesedaran, pengetahuan dan maklumat kepada anggota bomba mengenai tatacara menangani insiden kecemasan melibatkan operasi penyelamatan di sungai atau tasik dan di cerun atau tebing bukit.

“Setiap anggota juga didedahkan dengan langkah-langkah keselamatan yang harus diambil bagi melindungi diri penyelamat dan juga mangsa yang terlibat,” jelasnya.

Beliau optimis program ini juga dapat menambahkan keyakinan diri setiap anggota yang terlibat semasa operasi menyelamat di sungai, tasik dan di cerun bukit ataupun tebing tinggi.

Selain itu katanya program berkenaan diadakan bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan kemahiran dalam penggunaan peralatan dengan teknik yang betul.

TEKNIK TALI: Anggota JBPM Zon Limbang mempelajari cara dan teknik tali dengan berkesan.

“Dengan adanya program ini ia juga akan meningkatkan kemahiran dalam menyelesaikan masalah berkaitan kerja-kerja penyelamatan dengan menggunakan kaedah atau tatacara kerja yang betul dan efektif.

“Anggota juga dapat meningkatkan kemahiran pengurusan bencana dalam skala yang besar dan dapat ditangani dengan tenang, selamat dan berkesan melalui arahan serta komunikasi yang jelas dan penuh keyakinan,” ujarnya.

Katanya lagi program sama juga mampu memupuk kerjasama yang erat dalam kalangan anggota JBPM yang terlibat bagi membantu memikul tanggungjawab dalam tugas-tugas penyelamatan selain meringankan tugas-tugas yang berat dan mencabar.

Anuar berkata lagi setiap anggota memberi kerjasama, memahami serta mempunyai tahap keyakinan yang tinggi dan bersedia dalam menghadapi keadaan atau situasi kecemasan yang sebenar yang melibatkan operasi menyelamat di lokasi sasaran.

“Pengurusan operasi ini juga dapat memberi latihan teknik menenangkan dan rawatan mula kepada mangsa serta pengurusan usungan untuk mengangkat mangsa dalam keadaan potografi yang tidak menentu.

“Selain itu latihan ini juga memberi inspirasi di mana seseorang pegawai perlu mempunyai pengetahuan, kemahiran menyelamat dan mental kuat dalam menyelesaikan masalah berkaitan dengan betul dan efektif,” katanya lagi.

Turut sama ialah Penyelaras Latihan Program yang juga Ketua Operasi Zon 7, Bonny Martin Saging Mato, Ketua Jurulatih Program, Pegawai Bomba Kanan Dua, Bujang Daud dan Penolong Jurulatih Noor Faqriakamal Jamari dan Mohd Hafizi Abdul Wahab.

BERI TUMPUAN: Anggota JBPM Zon Limbang yang hadir mendengar taklimat.

Advertisement