Anda di sini

Perluaskan konsep wakaf

Advertisement

Oleh Siti Aisyah Ramli //

Ia tidak hanya untuk pembinaan masjid, malah harus dijadikan usaha dapatkan dana untuk pendidikan

KUCHING: Konsep wakaf yang diaplikasi secara meluas kini tidak hanya dituntut untuk pembinaan masjid, malah ia juga harus dijadikan usaha mendapatkan dana untuk tujuan pendidikan terutama kepada pelajar Islam di negeri ini khususnya.

Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Datu Abang Mohamad Shibli Abang Mohamad Nailie berkata, program wakaf diibaratkan sebagai usaha masyarakat hari ini untuk menyeragamkan peranan memajukan masjid dan meningkatkan mutu pendidikan anak-anak.

“Pengertian wakaf ialah menggunakan wang tunai yang dikumpul di dalam satu tabung amanah di bawah pengurusan nazir yang diamanahkan untuk mengurus wakaf bagi tujuan membiayai aktiviti dan kebajikan amal jariah.

“Justeru, tidak salah sekiranya sesebuah organisasi pendidikan berdaftar Islam seperti tadika Islam mengambil inisiatif untuk mendaftar dengan TBS selaku pendaftar bagi memohon membuka tabung Wakaf Tunai Pendidikan,” katanya.

Demikian katanya ketika ditemui selepas acara perasmian Majlis Pertandingan Kurikulum dan Hari Pasar Ria Amal Tadika Bina HIKMAH di sini, semalam.

Tambah beliau, ia juga merupakan langkah proaktif ibu bapa, guru serta bekas pelajar untuk  berpandangan lebih kreatif bagi memajukan organisasi pendidikan buat anak-anak pelapis generasi.

Wakaf Tunai Pendidikan yang dipohon bertujuan mencari dana sebagai sokongan untuk menganjurkan program berunsur intelektual dan pendidikan bagi mencapai matlamat pendidikan negara yang dinamik dan berkualiti, ujarnya.

“Dana yang diperolehi melalui Wakaf Tunai Pendidikan itu tidak hanya dapat digunakan untuk membaiki bangunan sekolah atau meningkatkan prasarana lain, tapi ia juga dapat membantu meningkatkan teknik pengajaran menggunakan alatan teknologi terkini.

“Melalui pencapaian itu juga, ia dapat membantu melahirkan pelajar Islam yang berdaya saing serta cemerlang dalam aspek akademik dan kokurikulum,” katanya.

Majlis itu turut menyaksikan Abang Mohamad Shibli yang juga merupakan setiausaha agung HIKMAH menyerahkan geran permulaan daripada TBS berjumlah RM10,000 kepada Yang Dipertua PIBG Tadika Bina HIKMAH Shaikh Yusuf Shaikh Ibrahim sebagai keperluan aktiviti pelajar di tadika itu.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan seperti jualan, pameran, pertandingan melukis dan mewarna, pertandingan hafazan al-Quran dan banyak lagi.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif HIKMAH Alwi Morshidi, Timbalan Yang Dipertua PIBG Tadika Bina HIKMAH Azlina Dahlan serta Guru Besar Tadika Bina HIKMAH Zaiton Bong Abdullah.

Advertisement