Anda di sini

Pandang serius risiko kebakaran rumah panjang

Advertisement

Oleh Kepu Sidi //

Kebanyakan kebakaran babitkan rumah panjang berpunca daripada kecuaian: Mawan

SARATOK: Ahli Parlimen Saratok Tan Sri William Mawan Ikom mengingatkan masyarakat rumah panjang agar memandang serius perkara membabitkan risiko dan masalah kebakaran rumah panjang yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

Menurut Mawan, berdasarkan pemantauan dan siasatan yang dilakukan pihak berkaitan, kebanyakan punca berlakunya kebakaran membabitkan rumah panjang di negeri ini adalah disebabkan kecuaian.

“Jika kita menilai daripada aspek kewangan, kerugian yang ditanggung penduduk dilanda musibah itu mencecah nilai jutaan ringgit.

“Situasi ini jelas memberi tamparan dan bebanan amat berat kepada keluarga-keluarga yang terlibat.

“Masyarakat rumah panjang harus memikirkan langkah drastik mengatasi dan tidak memandang remeh langkah keselamatan yang berkaitan dengan perkara itu,” kata Mawan pada Majlis Penutupan Summer Camp Program Bomba Bersama Komuniti di sini semalam.

Menurut Mawan, beliau menyambut baik langkah Jabatan Bomba dan Penyelamat menganjurkan program berkenaan kerana peserta didedahkan dengan aset Jabatan Bomba yang digunakan dalam sesuatu operasi kebakaran dan menyelamat.

Katanya melalui program itu Jabatan Bomba bersungguh-sungguh merealisasikan kehendak dalam menyemai kesedaran kepada penduduk tentang kebakaran.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Sosial berkata, kebanyakan kejadian kebakaran membabitkan rumah panjang penghuninya mengutamakan menyelamatkan harta benda daripada berusaha memadam api.

“Tidak ada gunanya kita berjaya menyelamatkan sedikit barang, tetapi membiarkan rumah panjang yang menjadi aset utama kita ranap dalam kebakaran,” katanya.

Pada majlis sama, Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Mohamad Zaki Omar berkata program Summer Camp merupakan satu program memberi pendidikan aspek keselamatan kebakaran kepada masyarakat setempat terutama di luar bandar.

“Program ini secara strategik dapat membantu tindakan seperti menyelamat nyawa dan mengelak kecederaan dan turut diberikan pendedahan kepada peserta untuk bertindak pantas apabila berlakunya kebakaran.

“Kami yakin program ini memberi pendedahan dan pengetahuan kepada golongan terbabit tentang perkara yang seharusnya mereka lakukan apabila berhadapan dengan situasi kecemasan dan langkah menyelamatkan diri,” katanya.

Pada masa sama, bomba juga mendedahkan peserta terlibat talian kecemasan bukannya nombor yang boleh didail sesuka hati dan menjadi mainan kerana tindakan serupa menyalahi undang-undang jika dilakukan tanpa sebab atau kecemasan.

Seramai 30 peserta daripada tujuh rumah panjang dan lima kampung di sekitar daerah Saratok menyertai program itu.

Hadir sama Residen Bahagian Betong Datu Romie Sigan Daniel, Ketua Balai Bomba Saratok Mohamad Darul Azreen Md Desa dan wakil Pegawai Daerah Saratok Laga Kueh serta ketua-ketua masyarakat.

Advertisement