Anda di sini

Lahir pemain berkualiti

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

PANAS BADAN: Pelatih memanaskan badan sambil dipantau oleh dua pembantu jurulatih. — Gambar Harry Ilias

Program pembangunan bola sepak landasan pemain wakili skuad negara

KUCHING: Program pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi sangat penting dalam usaha melahirkan pemain yang berkualiti dan dapat mewakili negara di pentas antarabangsa satu hari nanti.

Menyedari hakikat itu, Kementerian Belia dan Sukan telah melaksakan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) yang sedang bergerak seluruh negara.

Sarawak menjadi persinggahan terkini program yang dikenali ‘MyKids Soccer’ di SK Bandar Samariang yang juga pusat latihan pertama NFDP di sini.

Pengarah NFDP, Lim Teong Kim yang juga bekas pemain bola sepak negara berkata program itu bertujuan mencari pemain muda kalangan pelajar sekolah rendah berbakat untuk dilatih di bawah sistem latihan intensif agar menjadi pemain profesional berkualiti dapat mewakili negara di pentas dunia.

“Program ini bukan sahaja menyediakan landasan melatih kanak-kanak dengan pendidikan asas bola sepak tetapi menekankan asas menjadi manusia berguna kepada masyarakat,” katanya ditemui di SK Bandar Samariang, di sini semalam.

“Menerusi NFDP, pemain akan dilatih dengan pelbagai kemahiran baik dari segi mental mahupun fizikal agar mereka dapat menjadi pemain bola sepak berwibawa dan terkemuka,” ujarnya.

Menurut Lim, program fasa pertama akan berakhir pada 2020 dan antaranya bertujuan mensasarkan untuk menstrukturkan pentadbiran dan pengurusan program pembangunan termasuk memperkasa program pembangunan jurulatih.

Bagi mencapai sasaran itu, Lim berkata pihaknya akan membuka lebih banyak pusat latihan sebagai tambahan 14 pusat latihan sedia ada yang terletak di seluruh negara.

“Kita bercadang untuk membuka sebuah lagi pusat latihan di Miri pada tahun ini. Selain itu, kita juga akan memantau bahagian-bahagian lain di negeri ini mencari tapak sesuai dijadikan pusat latihan tambahan,” katanya.

Lim yang pernah menjadi Pembantu Jurulatih Pasukan Remaja Bayern Munich dari 2001 hingga 2013 berkata, Sarawak harus melihat ke arah memperkasa program untuk melahirkan lebih ramai pemain tempatan berkualiti dan tidak hanya bergantung kepada khidmat pemain import semata-mata.

“Adalah merugikan jika kerajaan negeri membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan pemain import. Ia juga perkembangan yang tidak sihat untuk pembangunan bola sepak di sini,” jelasnya.

Menurut Lim, pemain-pemain yang terpilih akan dibawa menjalani latihan berpusat di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang.

Bagi memantapkan program selama seminggu itu, beliau turut menggunakan khidmat bekas penjaga gol kebangsaan, Lim Chuan Chin sambil dibantu jurulatih dari Jerman, Adrian dan Matt Holland dari England.

Program tersebut akan berakhir pada Rabu depan.

Advertisement