Anda di sini

KPWKM beri amaran keras kepada ibu bapa yang cuai

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi amaran keras kepada ibu bapa yang cuai menjaga keselamatan anak-anak mereka dan tindakan tegas boleh dikenakan terhadap mereka.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata kementeriannya akan mengambil tindakan tegas kepada ibu bapa yang cuai di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dikenakan denda sebanyak RM20,000 atau penjara 10 tahun.

“Hukuman yang dikenakan kepada mereka bergantung kepada jenis kecuaian yang mereka lakukan sama ada kejadian yang berlaku disengajakan atau tidak disengajakan,” katanya kepada media selepas merasmikan Taska 1Malaysia di Chendering semalam.

Katanya kira-kira 70 peratus kandungan Akta Kanak-Kanak 2001 akan dipinda bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap ibu bapa yang cuai dalam menjaga keselamatan anak-anak mereka.

Rohani berkata hukuman yang dikenakan kepada mereka bergantung kepada jenis kecuaian yang mereka lakukan sama ada kejadian yang berlaku disengajakan atau tidak disengajakan.

Rohani berkata sekiranya kecuaian yang berlaku itu sahih dan dilakukan dengan sengaja, ibu bapa yang didapati bersalah itu perlu menjalani empat perkara sebagai hukuman di atas kecuaian mereka.

“…menghukum mereka dengan denda RM20,000. Ini sebagai pencegahan. Mereka juga perlu menjalankan kerja-kerja khidmat sosial atau komuniti seperti menempatkan mereka di rumah kanak-kanak atau menjaga orang tua,” katanya dan menambah mereka juga perlu menjalani kursus keibubapaan dan sesi kaunseling.

Katanya cadangan pindaan itu sudah diserahkan kepada Peguam Negara untuk penelitian sebelum dibentangkan di Parlimen.

“Kita jangka jika dapat diselesaikan semuanya, akta tersebut akan dibentangkan pada persidangan Parlimen tahun ini,” katanya lagi. — Bernama

Advertisement