Anda di sini

Kompleks Petanque Sarawak bakal dibina di Santubong

Advertisement

KUCHING: Terkenal sebagai perkampungan nelayan, pelancongan dan sejarah sejak dahulu, Kampung Santubong bakal menjadi tumpuan pemain petanque apabila Kompleks Petanque Sarawak dirancang dibina di kampung terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata cadangan sudah dikemukakan kepada Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) agar dibina di kawasan perkampungan memandangkan petanque merupakan sukan rakyat.

Katanya, kompleks tersebut penting dibina di kawasan kampung untuk memastikan ia digunakan setiap masa dan bukannya semasa pertandingan sahaja.

“Kita memang berharap kompleks itu dapat dibina di Kampung Santubong memandangkan penduduk kampung ramai meminati sukan petanque selain kampung itu merupakan antara pelopor petanque negeri ini.

“Pembinaan kompleks itu di kampung juga penting agar dapat digunakan setiap masa,” katanya kepada pemberita selepas menutup Kejohanan Petanque IPT 2014 Zon Sarawak di Arena Petanque Kampung Santubong di sini semalam.

Menurutnya, bajet yang dipohon untuk membina kompleks tersebut berjumlah RM3 juta dan tapak untuk pembinaannya sudah dikenal pasti.

“Setakat ini kementerian masih membuat pertimbangan mengenai lokasi pembinaan kompleks ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengakui Kampung Santubong kini mempunyai tarikan baharu iaitu petanque selain sektor pelancongan dan sejarah.

“Kampung ini sekarang berjaya menarik perhatian orang ramai termasuk penduduk kampung untuk bermain petanque.

“Banyak pertandingan besar termasuk peringkat negeri diadakan di gelanggang petanque kampung ini,” jelasnya sambil menambah ramai pemain petanque termasuk mewakili Malaysia dilahirkan di Kampung Santubong.

Setakat ini, terdapat 30 gelanggang petanque di Kampung Santubong dan di SMK Santubong.

Sementara itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengungguli Kejohanan Petanque IPT 2014 Zon Sarawak dengan memenangi tiga daripada tujuh kategori dipertandingkan merangkumi ‘single’ lelaki, ‘single’ wanita dan ‘double’ lelaki.

Kolej Komuniti Mas Gading pula memenangi kategori ‘double’ wanita manakala ‘triple’ lelaki dimenangi Kolej Komuniti Cawangan Betong A.

Kategori ‘mix double’ menyaksikan johan diraih Politeknik Kuching dan Santubong E memenangi kategori terbuka.

Hadir sama Pengarah Kolej Komuniti Kuching, Saidi Japari.

Advertisement